Kenyataan media Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon (28-11-2022)

Seiring titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka MCA bersama Barisan Nasional akur dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

MCA juga menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan bagi menjamin kestabilan menerusi perdamaian politik dan bergerak ke hadapan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi demi kepentingan rakyat serta negara ini.

Dalam masa sama, MCA akan terus memainkan peranan bagi memastikan Kerajaan Perpaduan ini memelihara kepelbagaian, kesederhanaan dan membela nasib rakyat majmuk di Malaysia.

Pada hari ini, MCA telah mengadakan sesi taklimat dan memperincikan perkembangan politik semasa kepada para pemimpin MCA di peringkat akar umbi, serta mendapatkan pandangan mereka.

Keutamaan MCA pada ketika ini adalah untuk melihat secara mendalam keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dan merangka strategi untuk membina semula parti; memberi tumpuan kepada dua (2) kerusi Parlimen dan tujuh (7) DUN yang dimenangi; memperbaiki kelemahan yang ada; dan berusaha untuk memenangi semula sokongan pengundi.

-MCA online-