28 Disember 2018

Kenyataan Akhbar Timbalan Pengerusi Pemuda MCA Tan Chee Hiong

Perbaiki latihan TVET untuk menangani masalah pengangguran belia

Pada zaman pekerjaan-pekerjaan tradisi bakal digantikan oleh kecerdasan buatan (AI) dengan sektor perindustrian menghadapi cabaran permintaan kemahiran yang sentiasa berubah, ia sangat mengejutkan bahawa silibus pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) masih ketinggalan dan menyebabkan ketidakpadanan antara kemahiran graduan dan permintaan majikan (Laporan dari The Star, 28 Disember 2018).

Masalah ini bertambah teruk ekoran pertimbangan pihak majikan untuk membekukan pengambilan pekerja untuk tahun depan, di mana sektor perkhidmatan dijangka paling teruk terjejas sepertimana yang didakwa Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan (Laporan Malaysian Insight, 26 Disember 2018). Ini adalah berita buruk bagi para belia yang mahu mencari pekerjaan pertama kerana terpaksa bersaing dengan pekerja yang lebih berpengalaman dalam keadaan ekonomi yang sukar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019, telah mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk dana TVET yang diwujudkan bagi menambahbaik program TVET yang sedia ada. Serta merta kami sedar bahawa jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung permintaan latihan TVET yang semakin meningkat. Kerajaan harus lebih berusaha jika mahu mencapai sasaran 60% pekerja berkemahiran menjelang tahun 2020. Apabila pusat-pusat latihan TVET dibelenggu masalah kos penyelenggaraan dan operasi harian, mampukah mereka merombak serta menyediakan kemudahan dan jentera terkini, yang begitu penting untuk pengajaran dan pembelajaran?

Lebih-lebih lagi, terdapat juga kebimbangan terhadap kekurangan penyelerasan di antara semua pihak berkaitan dalam transformasi TVET. Sepertimana yang ditekankan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), satu badan tunggal khas diperlukan untuk menyelia TVET kerana terdapat pertindihan tugas di antara 7 kementerian pada satu-satu masa.

Susulan peletakan jawatan ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah dari jawatan-jawatan berkaitan PKR dan kerajaan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, kami tertanya-tanya siapakah yang paling layak menggantikan beliau? Apakah tindakan lanjut dengan pihak berkepentingan termasuk para pelajar, pemain industri, dan sektor swasta untuk memberi cadangan bagi pemerkasaan TVET?

Oleh kerana TVET sangat bergantung kepada latihan praktikal, maka kekurangan penyelarasan di antara institusi latihan dan pihak industri akan membawa padah kepada para pelajar yang kekurangan pendedahan. Bagaimana mereka boleh mendapat pekerjaan apabila mereka tidak sedar akan trend teknologi terkini dan tidak tahu mengendalikan jentera yang terbaharu selepas tamat pengajian?  

Kami benar-benar berharap golongan belia yang mempunyai impian untuk menyumbang kepada kemajuan negara tidak akan berakhir sebagai penganggur selepas bertahun-tahun menjalani latihan di institusi TVET.

Pilihan di tangan anda, Pakatan Harapan. Bertindaklah sebelum terlambat!

-MCA online-