29 Januari 2018

Kenyataan Media Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Dato’ Sri Ti Lian Ker

Biar Hidup Hidup Lagi

Lagu DJ Dave berkumandang di latarbelakang sementara aku tengah membaca cerita Ibrahim Ali makan dedak dari tangan Tun Dr. Mahathir semasa dia menjadi Perdana Menteri.

Itulah pengakuan Ibrahim Ali dengan megahnya. “Saya mintak. Mahathir bagi. Zaman Mahathir sudahpun ada dedak dan saya adalah antara orangnya...” - dalam konteks inilah tokoh yang pernah dilabel “Raja Katak” membuat pengakuan.

Saya suka sangat apabila Ibrahim Ali berceloteh dan bergurau sebegini. Tiba-tiba dalam pengakuannya yang penuh keikhlasan di “Retreat Penerangan BN” dia bergurau dengan sinis “dulu mereka ini panggil saya Raja Katak, kini semua pulak jadi katak. Hohohoho” dia ketawa. Siapakah “mereka” yang dia maksudkan itu?

Tambah beliau, sekarang semua sudah pandai melompat-lompat. Saya ada prinsip saya. Saya tak akan melompat macam katak. Saya ibarat janda seksi yang bernilai... tunggu orang melamar. Itulah kelakarnya Ibrahim Ali! Rupa-rupanya dia adalah the “most misunderstood man”.

Oh rupa-rupanya makan dedak bukanlah satu fenomena baru dalam politik negara kita. Ia sudah lama wujud zaman Tun Dr. Mahathir.

Puan Anina Saadudin bekas Ketua Srikandi PPBM juga ada di pentas yang sama. Beliau menceritakan bagaimana ramai makan dedak politik Boiboi di parti PPBM di mana Anina adalah antara “founder member” atau pengasas parti sehingga beliau tidak dapat menahan geramnya melihat Boboi ( nama panggilan manja Mukhriz Mahathir) . Kononnya dia telah meminggirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti PPBM dengan mengisikan kroni-kroni beliau sebagai penyandang jawatankuasa penaja di seluruh negeri. Baru lah Anina sedar bahawasanya politik bukanlah sejernih yang difikirnya. Barulah Anina sedar bahawa dalam real politik banyak lapisan dan kupasannya dan politik Dato’ Sri Najib Razak rupa-rupanya tidaklah sekotor atau sekeruh yang diberitau pada beliau oleh Tun Mahathir.

Suara DJ Dave yang merdu terus merdu sayu merayu-rayu “Kau bahagia, ku bahagia. Biar hidup, hidup lagi..”

Terimbas kembali kata-kata Tun Dr.Mahathir semasa Tun memecat Anwar Ibrahim sebagai ahli parti dan Timbalan Perdana Menteri. Tun pernah mengatakan orang kampung bukan faham bahasa canggih dan madani Anwar Ibrahim. Katanya kemahuan orang kampung “simple”, mereka mahu hidup senang dan bahagia tanpa tekanan. Kemahuan asas mereka senang sahaja yakni mendekati Tuhan (Allah) dan itulah kebahagiaan dan utopia bagi mereka. Mereka tidak mau konflik jiwa dan tekanan sakit mental yang keterlaluan.

Berbalik kepada pengakuan Ibrahim Ali dalam “Retreat Penerangan” yang dianjurkan Tan Sri Annuar Musa, rakan seangkatannya di Kelantan dari era Mahathir.

Beliau mengimbas kembali semasa menjadi aktivis pelajar, berdemonstrasi dan merusuh bersama Anwar Ibrahim; kononnya di Baling ada orang mati kebuluran disebabkan jatuh harga getah yang merudum. Ibrahim Ali mengatakan sebenarnya itu satu tuduhan yang tidak benar tetapi peristiwa kematian itu di eksploitasikan untuk menjadi helah membuat kacau dan merusuh oleh mereka. Hai! Orang tua ini ada juga “conscience”...

DJ Dave terus sendu berirama...”Masa yang lepas, tak kan kembali lagi... ohhhhhhhh!”

Hati saya gusar. Masa lepas yang berlalu tinggal nostalgia. Dulu kita hidup bahagia. Kau bahagia, ku bahagia. Biar hidup, hidup lagi. Habis kenapa orang kaya-kaya dan berpengaruh seperti bekas Perdana Menteri, bekas Timbalan Menteri , bekas Menteri Besar dan sebagainnya suka bergaduh-gaduh walhal mereka hidup senang , mewah dan bahagia.

Apakah yang kita nak bergaduh sangat sebab persengketaan peribadi mereka. Kita gaduh sebab agenda politikus dan parti mereka yang sekejap sana, sekejap sini? Siapa jadi raja, siapa berkuasa? Siapa jadi Perdana Menteri ... sama saja. Aku begini. Engkau begitu. Sama saja!

Lagu Broery Marantika pula berputar-putar... Bukanlah “Angin Malam” lagu favorite saya yang sentiasa menenangkan jiwa dan raga....namun lagu ini tetap mententeramkan hati dengan lirik ini:

“Didalam tidur didalam doa kita berjanji
Kita bersama kita bersatu bergandeng tangan
Di alam nyata apa yang terjadi
Buah semangka berdaun sirih
Aku begini engkau begitu sama saja”

Dalam aku menulis suara hati ini semasa perjalanan ke Dewan Perdana, Putrajaya International Convention Centre (PICC) untuk menghadiri majlis perkahwinan Yunanis Zarai dan Adam Sinclair, saya berhenti seketika mencari tempat duduk untuk menghabiskan rencana ini.

Semasa saya tengah mencari kata-kata penutup, tiba-tiba Dato Seri Siti Nurhaliza berpasangan mara menuju ke meja duduk saya...terus saya tamat di sini.

Senyuman manis Siti lebih manis lagi dalam mengandung...lupakanlah senyuman sinis politikus sementara waktu!

Dato’ Sri Ti Lian Ker
Jurucakap Publisiti MCA
Ahli
 Jawatankuasa Pusat MCA

-MCA online-