Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disarankan mengubah kandungan kursus yang ditawarkan kepada pelajar bagi memastikan ia mampu memenuhi kehendak pasaran Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata industri 4.0 merupakan industri yang lebih mementingkan robot automasi, analisis data besar dalam pelaksanaan tugas, dan banyak negara sedang dalam proses mengadaptasinya.

"Mengikut laporan global, industri 4.0 ini akan memudahkan kerja kita kerana banyak perkara digantikan dengan robotik namun pada masa sama akan menyebabkan negara-negara sedang membangun kehilangan sebanyak 7.1 juta peluang pekerjaan memandangkan ia tidak memerlukan lagi orang untuk memproses data atau sebagainya.

"Bagaimanapun, di sebalik kehilangan pekerjaan ini, beberapa peluang pekerjaan tertentu yang lebih canggih akan turut wujud seperti saintis data serta jurutera robotik.

"Oleh itu, kita kena melihat aspek ini dan saya telah minta supaya pihak pengurusan universiti menelitinya kerana kalau tidak, graduan tidak akan mempunyai nilai komersial apabila dipasarkan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvokesyen Kolej Universiti Selatan yang ke-26 di sini, hari ini.

Beliau berkata di peringkat kerajaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah dipertanggungjawabkan untuk meneliti skop industri 4.0 yang mencakupi kesan-kesannya kepada industri sedia ada, dan menentukan kepakaran-kepakaran yang diperlukan.

"Kita kena mula berlatih, kalau boleh, bukan sahaja di peringkat MITI malah Kementerian Belia dan Sukan pun kerana ia mempunyai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) selain melibatkan Kementerian Pendidikan n Tinggi dan Kementerian Pendidikan," katanya.

Dalam isu lain, Wee berkata pindaan terhadap Akta Pendidikan Tinggi Swasta akan membolehkan institusi pendidikan tinggi swasta seperti Kolej Universiti Selatan yang ditubuh berasaskan dana orang awam, mewujudkan yayasan sendiri bagi menampung kos operasi mereka.

Katanya, ketika ini institusi sedemikian perlu berdaftar sebagai syarikat persendirian dan ini menimbulkan permasalahan.

"Kolej universiti seperti ini bergantung kepada sumbangan orang awam untuk beroperasi dan anda dapat lihat yuran pengajiannya juga tidaklah tinggi kerana ia tidak berasaskan keuntungan... dengan itu dana boleh disalurkan untuk membesarkan kampus atau meningkatkan kemudahan serta menawarkan kursus-kursus tambahan.

"Sehubungan itu, pindaan akta ini akan membolehkan mereka menubuhkan yayasan dengan dana boleh disalurkan," katanya dan menurutnya pindaan akta itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini.

-- BERNAMA