29 Julai 2021

Kenyataan media Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen

MKN sebar informasi dilabel propaganda, DAP dilihat bankrap isu

DAP nampaknya sudah kehabisan modal apabila Ahli Parlimen Segambut, YB Hannah Yeoh menimbulkan isu remeh di Parlimen dengan mendakwa sistem pesanan ringkas (SMS) kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak digunakan secara berhemah sebaliknya banyak bersifat retorik dan propaganda.

Hannah Yeoh berpendapat SMS yang diterima bagaikan ‘membebel’ dan sekadar ingin memaklumkan kerajaan terus membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 melalui Program Bakul Prihatin Negara.

Kenapa anggap ini sebagai propaganda sedangkan semua Ahli Parlimen termasuk Hannah Yeoh sendiri menerima peruntukan sama rata RM300,000? Apakah Hannah tidak mahu rakyat di kawasannya tahu mengenai peruntukan tersebut dan lupa mengenainya? Tidak mahu rakyat menuntut bakul makanan dengan peruntukan RM300,000 daripadanya?

Apa salahnya kerajaan ‘membebel’ mengingatkan orang ramai berulang kali supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP)?

Mungkin Hannah Yeoh tidak memerlukan SMS sebegini, tetapi beliau tidak sedar ramai di luar sana yang perlu sentiasa diingatkan tentang bahaya pandemik yang setakat ini sudah menjangkiti lebih sejuta rakyat Malaysia serta mengakibatkan lebih 8,000 kematian.

Kita lihat masih ramai yang tidak mahu memakai pelitup muka, tidak menghiraukan penjarakan fizikal dan suka berkumpul dan bersesak, serta ramai lagi yang sentiasa mencari helah untuk merentas negeri.

Maka SMS dari MKN ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan orang ramai supaya tidak leka dan sentiasa berwaspada terhadap musuh yang tidak kelihatan ini, kerana kita masih jauh dari kemenangan dalam peperangan melawan COVID-19.

DAP telah menggunakan platform SMS untuk melancarkan propaganda politik dengan begitu berkesan dalam usaha untuk menewaskan kerajaan Barisan Nasional di beberapa negeri ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu. Mungkin itulah sebabnya DAP begitu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga menimbulkan isu SMS ini.

Apa pula perasaan anggota keselamatan sebagai komponen utama MKN apabila hasrat murni mereka untuk menyampaikan maklumat sengaja disalahertikan malah diputar-belitkan sebagai ‘membebel’ dan bersifat propaganda?

-MCA online-