29 Disember 2018

Kenyataan Akhbar Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Kerajaan negeri digesa merealisasikan “Inisiatif Kemapanan Pulau Pinang

Pembangunan lestari biasanya bergantung kepada tiga faktor, iaitu penyertaan sosial, kemajuan ekonomi, dan pemuliharaan alam sekitar. Oleh itu, kami kecewa apabila kerajaan Pulau Pinang sengaja mengabaikan konsep penyertaan sosial dan pemuliharaan alam sekitar dalam pelaksanaan beberapa projek.

Walaupun kerajaan negeri berjaya dari aspek kemajuan ekonomi terutamanya dalam pembinaan hotel dan kondominium mewah, tetapi ia telah gagal dari segi penglibatan awam dan perlindungan alam sekitar. Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) pernah dikritik atas kebolehlaksanaan teknikalnya dan kebimbangan terhadap pemeliharaan alam sekitar, tetapi kerajaan negeri masih degil meneruskan projek ini tanpa mengendahkan bantahan pelbagai pihak termasuk Penang Forum dan penduduk tempatan. Adakah perasaan dan pendapat pihak berkepentingan diambil kira dalam pelaksanaan dasar-dasar baharu kerajaan negeri? Jika ya, maka projek tersebut patut dihentikan sementara menunggu pemeriksaan dan kelulusan pihak awam. Jika tidak, maka Inisiatif Kemapanan Pulau Pinang hanya satu janji kosong.

Mengenai pemuliharaan alam sekitar, isu “Bukit Botak” hanyalah titik permulaan. Terdapat juga bencana tanah runtuh yang berpunca dari pembangunan lereng bukit seperti di Tanjung Bungah dan Bukit Kukus. Malangnya, kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil mudah tragedi-tragedi tersebut dan tidak serius dalam menguatkuasakan undang-undang. Malah, badan-badan sivil dan rakyat jelata yang mengkritik kerajaan dilabel sebagai “pembangkang” yang dituduh ada agenda peribadi untuk menggulingkan kerajaan negeri. Pembangunan mampan hanya boleh direalisasikan jika kerajaan negeri sanggup mendengar kritikan konstruktif dan mengutamakan kepentingan penduduk.   

Akan tetapi, pemeliharaan alam sekitar jelas masih diabaikan berikutan pendedahan bahawa sebuah kawasan tanah bakau di Batu Maung telah dibersihkan. Malangnya, pihak bersalah hanya akan didakwa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan dan akan didenda sekurang-kurangnya RM50,000 sahaja. Menurut penasihat Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS) cawangan Pulau Pinang Kandar Kumar, kerajaan negeri boleh mengguna pakai 3 hingga 5 undang-undang lain yang hukumannya lebih berat sebagai langkah pencegahan, tetapi nasihat ini tidak diendah kerajaan negeri. Sementara itu, ADUN Batu Maung Halim Hussain juga menjangka bahawa tanah yang dibersihkan adalah sebesar sebuah padang bola. Adakah kerajaan Pulau Pinang terlalu sombong sehingga tidak mahu melayan kritikan konstruktif, walaupun ia dari rakan sekutunya sendiri?

Tolonglah merealisasikan Inisiatif Kemapanan Pulau Pinang demi kesejahteraan penduduk negeri!

-MCA online-