Kenyataan media Jurucakap Pemuda MCA Kebangsaan, Lee Yee Yuan (30 Mac 2022)

Bantu generasi muda lakar kejayaan dalam NFT, e-sukan

Kerajaan digesa supaya memberi tumpuan kepada token tidak boleh bertukar ganti atau NFT yang dilihat semakin berkembang di Malaysia dan popular dalam kalangan generasi muda, lebih-lebih lagi era globalisasi dewasa ini.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), penggunaan popular NFT adalah bagi item yang dijadikan koleksi seperti muzik, sukan dan lain-lain. Ini menjadikan NFT lebih selamat berbanding mata wang kripto kerana NFT tidak boleh didagangkan atau ditukar pada kesetaraan.

NFT juga boleh digunakan untuk memajukan industri e-sukan negara yang semakin popular. Dilaporkan baru-baru ini bahawa industri permainan digital Malaysia telah mencatat pencapaian besar dengan pelancaran Soulbond: Rebels Arise, sebuah permainan watak pelbagai pemain (MMORPG) menggunakan NFT yang dicipta oleh sebuah syarikat tempatan.

Ini membuktikan e-sukan di Malaysia mempunyai potensi yang besar, bukan sahaja dari segi pemain tetapi juga dari segi pembangunan permainan digital. Malah, nama-nama terkenal dalam e-sukan seperti NothingToSay dan Oli yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan Dota2 di “The International 10” yang diadakan di Romania pada tahun lepas wajar menjadi pemangkin kepada kelahiran generasi hebat dalam e-sukan.

Sokongan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ti Lian Ker terhadap kedua-dua pemain dari Malaysia ini, Cheng “NothingToSay” Jin Xiang dan Chan “Oli” Chon Kien untuk menyelesaikan masalah mereka dalam mendapatkan kelulusan “MyTravelPass” untuk mengambil bahagian di dalam pertandingan kejohanan dunia tersebut amat dialu-alukan dan wajar dipuji.

Justeru itu, kerajaan digesa supaya segera melihat potensi NFT ini dan memulakan langkah untuk merangka hala tuju berkaitan NFT dan e-sukan di Malaysia.

Pemuda MCA sedia untuk bersama memainkan peranan dalam membantu kerajaan mendekati belia untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mereka. Apa yang utama, segala keperluan golongan belia harus diberikan perhatian sewajarnya.

-MCA online-