Wanita MCA memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam seorang lelaki yang didakwa memukul isterinya sehingga parah dan mengalami keguguran di Sungai Petani minggu lalu.

Lebih membimbangkan, suspek dilaporkan mempunyai sejarah keganasan rumah tangga serta rekod jenayah lampau, kebanyakannya melibatkan keganasan terhadap isteri dan teman wanita. Memetik laporan media, suspek juga dikatakan pernah berkahwin sembilan kali dan mempunyai 11 orang anak, selain menyasarkan pasangan yang mempunyai pekerjaan tetap, khususnya penjawat awam.

Kes ini jelas menunjukkan kegagalan sistem perlindungan sedia ada dalam menghalang pelaku daripada terus memburu dan mendera wanita.

Isu keganasan rumah tangga bukan “hal keluarga” semata-mata, sebaliknya jenayah serius yang boleh meragut nyawa. Kita tidak boleh terus membiarkan wanita hidup dalam ketakutan sedangkan pelaku bebas mengulangi kejahatannya terhadap mangsa baharu.

Untuk rekod, pada tahun 2021, suspek didakwa memukul isterinya yang ketika itu sedang hamil sehingga mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan otak, menyebabkan sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang, selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak.

Sehubungan itu, Wanita MCA ingin mencadangkan beberapa langkah kepada kerajaan bagi menangani isu ini:

1. Mewujudkan sistem amaran dan rekod pesalah keganasan rumah tangga

Kerajaan perlu mempertimbang mekanisme pemantauan lebih ketat terhadap individu yang mempunyai rekod keganasan rumah tangga bagi mengelakkan kes sama berulang terhadap wanita lain. Pangkalan data ini boleh dihubungkan dengan agensi berkaitan seperti polis dan jabatan agama.

2. Hukuman lebih tegas terhadap pesalah berulang

Individu yang mempunyai rekod keganasan rumah tangga perlu dikenakan hukuman lebih berat kerana cenderung mengulangi jenayah dan membahayakan orang lain. Jangan tangguh pelaksanaan hukuman penjara terhadap pelaku. Jadikan kes ini sebagai pengajaran.

3. Mempercepatkan arahan perlindungan untuk mangsa

Ramai mangsa gagal mendapatkan perlindungan segera kerana proses birokrasi yang lambat. Prosedur ini mesti dipermudah dan dipercepatkan agar mangsa dapat dilindungi sebaik sahaja laporan dibuat.

4. Memperluaskan sokongan kepada mangsa

Kerajaan perlu memperluaskan bantuan kepada mangsa seperti rumah perlindungan wanita, bantuan guaman, kaunseling, bantuan kewangan dan talian kecemasan yang responsif. Ini penting supaya wanita di luar sana tahu ke mana harus dituju tanpa rasa takut untuk keluar daripada hubungan toksik.

Bagi pihak Wanita MCA, kami menerusi Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita (LAWA) menyediakan bantuan guaman sehenti, nasihat undang-undang dan kaunseling percuma kepada wanita teraniaya. Fokus diberikan kepada kes keganasan rumah tangga, sivil dan keluarga.

Dalam masa sama, Wanita MCA ingin mengingatkan kaum wanita agar tidak memandang ringan tanda-tanda awal penderaan dalam hubungan kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi lebih buruk dan memudaratkan.

Wanita MCA juga menyeru masyarakat supaya berhenti menyalahkan mangsa semata-mata. Mangsa keganasan rumah tangga berdepan tekanan emosi, ketakutan dan manipulasi psikologi yang menyebabkan mereka sukar keluar daripada hubungan toksik. Mereka memerlukan sokongan yang benar-benar membantu mereka membina semula kehidupan.

Malaysia seharusnya mempunyai sistem yang benar-benar melindungi mangsa keganasan rumah tangga, bukan sekadar bertindak selepas tragedi berlaku. Kami juga berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan pelaku dikenakan tindakan setimpal mengikut undang-undang kerana keselamatan wanita mesti diutamakan.

Chan Quin Er
Setiausaha Agung Wanita MCA
30 April 2026