Sektor penerbangan dan ekonomi negara dijangka akan terus meningkat susulan penarafan keselamatan Kategori 1 dikembalikan semula Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semalam.

Malaysia sejak November 2019 diletakkan dalam Kategori 2 ekoran ketidakpatuhan piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), selepas penilaian terhadap CAAM pada awal tahun itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata penarafan yang dikeluarkan FAA itu berita baik untuk Malaysia kerana ia dicapai dalam tempoh singkat.

"Pada 2020, dalam usaha meningkatkan langkah penyelesaian (penurunan taraf ke Kategori 2), lantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman sebagai Pengerusi CAAM serta Datuk Kapten Chester Voo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CAAM dibuat untuk mentransformasikan agensi penguatkuasa penerbangan itu, termasuklah menyusun semula organisasi keseluruhan serta memperkukuhkan tenaga kerja, dokumentasi serta pembangunan dasar latihan.

"FAA kembali untuk penilaian penuh pada 2021 dan mereka menyatakan kekaguman perubahan CAAM dalam tempoh dua tahun itu dan pada audit pada Disember, mengesan sebanyak 29 dapatan namun 33 dapatan yang dikesan pada 2019 tidak lagi muncul. Voo mengambil langkah untuk menyelesaikan 29 dapatan ini hanya dalam tempoh enam bulan sahaja.

"Apabila FAA kembali pada Julai lalu, CAAM sudah menyelesaikan semua 29 dapatan itu dengan langkah tindakan pembetulan ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam talian ketika menghadiri Persidangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) ke-41 di Montreal, Kanada.

Penarafan Kategori 1 bermakna, pihak berkuasa penerbangan awam negara mematuhi piawaian ICAO dan syarikat penerbangan negara boleh mewujudkan perkhidmatan penerbangan ke Amerika Syarikat (AS).

Dalam Kategori 2, bermakna FAA tidak membenarkan sebarang permit baharu daripada syarikat penerbangan Malaysia untuk menyediakan penerbangan ke AS kecuali penerbangan sedia ada, malah tiada kebenaran sebarang permit penerbangan baharu daripada syarikat penerbangan Malaysia untuk mengadakan perkongsian perjanjian kod dengan syarikat penerbangan AS.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, penarafan kategori 1 kepada Malaysia juga memberi nafas baharu kepada sektor penerbangan negara, khususnya dalam tempoh pemulihan selepas cabaran pandemik COVID-19.

"Ramai yang bertanya apakah kesan kepada rakyat apabila perubahan ini berlaku, sebenarnya banyak kerana ia memberi pengiktirafan dalam sistem penerbangan seperti pembangunan alat ganti, yang boleh boleh menerima kesan sekiranya kita masih dalam ketegori dua.

"Selain itu, ia juga memberi peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia, banyak peluang itu kini boleh diberikan kepada mereka," katanya.

Ditanya mengenai isu utama yang diselesaikan CAAM untuk menerima semula penarafan Kategori 1, Ka Siong berkata, ia berkaitan sistem latihan juruterbang yang memerlukan dokumentasi lengkap serta penyelarasan aspek pindaan perundangan yang mendapat sokongan daripada kabinet.

Katanya, ketika ini terpulang kepada syarikat penerbangan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka termasuklah mewujudkan laluan baharu ke AS.

"Apa sahaja tindakan yang akan dilakukan, ia perlu melalui proses tetapi ketika ini sekatan sudah tiada dan ia terpulang kepada syarikat ini. Apa yang penting adalah perlunya melihat kemampuan kita dan perlunya menilai kelestarian yang ada, dengan mempertahankan (laluan penerbangan) yang ada.

"Saya juga yakin CEO penerbangan akan buat yang terbaik dan kita sebagai kerajaan akan membantu untuk memastikan ia membawa kebaikan secara langsung atau tidak, dalam usaha membawa lebih ramai pelancong dan meningkatkan ekonomi negara," katanya.

-Berita Harian-