CAAM dikembalikan semula ke Cat 1
Kenyataan media Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon (28-11-2022)  

Pesawat dari Malaysia kini boleh tambah penerbangan ke Amerika Syarikat

Pada Isnin    03-10-2022 11:19:00

Operator udara komersial dari Malaysia kini boleh menambah balik penerbangan awam berjadual ke mana-mana destinasi di Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa.

Berita gembira tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang akhbar khas yang diadakan secara maya dari Montreal, Kanada hari ini.

Beliau yang berada di Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi menyertai persidangan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu juga menzahirkan syukur.

“Dengan rasa cukup gembira, saya ingin mengumumkan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) telah kembali memberi penarafan sebagai kategori 1 kepada Malaysia.

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas kerja kuat dan usaha komitmen anda sepanjang lebih dua tahun lalu,” katanya.

Turut serta pada sidang akhbar tersebut ialah Pengerusi CAAM sendiri, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Chester Voo Chee Soon.

Juga hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Datuk Seri Saripuddin Kasim.

FAA menurunkan penarafan Malaysia kepada kategori 2 pada 2019 lalu ketika era kerajaan Pakatan Harapan kerana didapati gagal mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan ICAO.

Ia hasil pemeriksaan rutin menerusi program Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) untuk semua firma udara komersial asing yang ingin memasuki ke AS.

Ketika itu FAA mendapati CAAM merekodkan 58 dapatan dengan 33 daripadanya itu menjadi sebab penarafan standard Malaysia merosot julung kali daripada status kategori 1 kepada 2.

Susulan itu, syarikat penerbangan awam dari Malaysia dilarang lagi membuat penerbangan tambahan atau perkongsian kod dengan operator AS untuk sebarang destinasi di negara itu.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pasukan FAA kembali melakukan penilaian semula pada 2021 lalu dan berasa kagum kerana CAAM berjaya melaksanakan banyak penambahbaikan.

“Ia telah dibuat pada Disember lepas dan mencatatkan 29 dapatan baharu namun tiada lagi 33 dapatan sebelum ini yang menunjukkan segala kecacatan lama sudah diatasi,” katanya.

Apa yang menarik, pihak CAAM segera bertindak melakukan pembetulan ke atas dapatan baharu itu dalam masa enam bulan sebelum FAA datang balik untuk mengesahkan piawaian.

Sehubungan itu, beliau berharap penarafan semula kepada kategori 1 akan memberi banyak faedah bukan sahaja kepada operator udara tempatan malah untuk warga Malaysia sendiri.

Langkah itu ujarnya, dijangka merancakkan kembali ekonomi terutama sektor pelancongan apabila ramai penumpang dari AS datang ke Malaysia dengan menaiki pesawat negara ini.

Pada masa yang sama, kategori teratas itu akan memberi manfaat kepada peluang pekerjaan terutama juruterbang, kru kabin dan pasukan teknikal untuk pengendalian pesawat ke AS.

Ka Siong memberi contoh, dari segi pemindahan alat ganti dari AS yang sekali gus dapat membantu industri penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) pesawat secara berkala.

Dalam pada itu, tiga operator udara komersial utama dari Malaysia menyatakan kesediaan untuk segera menambah penerbangan baharu ke Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat.

 Malahan, mereka menyifatkan keputusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) memberi balik penarafan kategori 1 sebagai berita gembira yang amat ditunggu selama ini.

 Ketiga-tiga pemimpin syarikat itu turut hadir pada sidang akhbar khas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang berlangsung secara maya dari Montreal, Kanada hari ini.

 Mereka berada di negara itu bagi menyertai persidangan tahunan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

 “Kami tidak sabar bagi meneroka potensi penerbangan tambahan ke destinasi popular di AS yang sesuai dilakukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail.  

UTUSAN

Berita Berkatian

CAAM dikembalikan semula ke Cat 1

Taraf keselamatan CAAM naik semula Kategori 1

26 hasil audit FAA sudah ditutup

Taraf keselamatan CAAM: Ambil tindakan pembetulan 33 audit IASA

Cadangan jadikan CAAM badan berkanun diteliti