3 Oktober 2022

Kenyataan Media Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok

Tolak PRU15 dalam masa terdekat, tetapi PH giat berkempen seolah-olah esok Hari Mengundi

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menjadi topik hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, terutamanya mengenai tarikh ia dilaksanakan sama ada pada tahun ini atau tahun depan.

Kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyebar propaganda kononnya kerajaan tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat kerana mahu mengadakan PRU15 semasa musim banjir, walaupun Parlimen belum pun dibubarkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum pun menetapkan tarikh-tarikh penting PRU15.

Malah, terdapat juga segelintir pemimpin pembangkang yang mengheret rakyat turun ke jalan raya untuk mengadakan protes, juga menggunakan naratif sama - kononnya kerajaan tidak prihatin dengan keselamatan rakyat.

Namun, apa yang menghairankan, kebanyakan pemimpin PH dilihat aktif dengan aktiviti kempen politik seperti Jelajah Trak Ayuh Malaysia dan kempen-kempen politik di media sosial.

Setiap hari tanpa gagal, sudah tentu adanya laporan mengenai persiapan PRU oleh pihak pembangkang, khususnya Pakatan Harapan, seperti perbincangan pengagihan kerusi, logo untuk digunakan, calon Perdana Menteri, dan juga janji-janji manifesto.

Jelas di sini bahawa PH 'bijak' dengan strategi politiknya iaitu menyalahkan kerajaan yang kononnya tidak menghiraukan kepentingan rakyat (walaupun Parlimen belum dibubarkan, SPR belum tentukan tarikh PRU15), dan dalam masa sama giat berkempen meraih sokongan seolah-olah esok hari buang undi.

Kesimpulannya, PH dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk menutup memori pengundi susulan kegagalan PH selama menjadi kerajaan pada tahun 2018 lalu. Walaupun sudah diberikan kepercayaan dan mandat rakyat pada PRU14 lalu, namun PH gagal memberikan prestasi yang baik kepada rakyat, malah pemerintahan PH menjadikan Malaysia melalui zaman gelap selama 22 bulan.

-MCA online-