Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Ir Wee Ka Siong akan mengadakan perbincangan dengan ADUN Yong Peng, YB Ling Tian Soon untuk tindakan susulan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, berhubung projek Menaik taraf Jalan Yong Peng (FT24) dari Persimpangan Tol Yong Peng ke Persimpangan Parit Yaani (J125), Batu Pahat, Johor.
Beliau menjelaskan, Kementerian Kerja Raya telahpun mengemukakan permohonan projek berkenaan untuk pertimbangan dan kelulusan Agensi Pusat pada Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke 13 (RP1 RMK13), namun tidak mendapat kelulusan, kerana perlu memberi keutamaan kepada projek-projek lain di Johor.
Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Ka Siong turut menzahirkan penghargaan atas tindakan-tindakan mitigasi yang dilaksanakan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) bagi melancarkan pergerakan trafik di persimpangan Jalan Besar Yong Peng - Jalan Muar - Jalan Labis.
“Kehidupan yang lebih sejahtera buat warga Parlimen Ayer Hitam sentiasa menjadi keutamaan saya,” tegasnya.
Terdahulu, Ka Siong yang juga Presiden MCA meminta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi kesesakan trafik serius akibat bottleneck di Tol Plaza PLUS Yong Peng Utara yang menyebabkan limpahan trafik sehingga persimpangan Jalan Besar Yong Peng - Jalan Muar - Jalan Labis.
Penerangan MCA
5 Februari 2026