Di dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjawab bahawa langkah memansuhkan tol bukan langkah yang mudah kerana bakal memakan kos yang terlalu besar.

Justeru, pemimpin-pemimpin DAP digesa supaya mengemukakan cadangan konstruktif yang dapat membantu kerajaan merealisasikan janji-janji yang pernah dibuat khususnya oleh pemimpin DAP sebelum ini berkenaan pemansuhan tol.

Jika tidak, pemimpin DAP yang kini memiliki 40 Ahli Parlimen harus meminta maaf secara terbuka dan mengakui menipu rakyat semata-mata mahu mendapatkan undi.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka menuntut janji dan manifesto yang ditabur oleh pemimpin DAP.  Selain menuntut janji, rakyat juga mengharapkan kebajikan mereka dibela, lebih-lebih lagi dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini.

Menjelang pembentangan Rancangan Malaysia ketiga belas (RMK13), kerajaan diharapkan mendengar dan mengambil kira input rakyat pelbagai latar belakang sepanjang sesi libat urus dijalankan seperti wakil-wakil persatuan pengguna, pemain industri, komuniti peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan B40 dan M40, masyarakat luar bandar serta belia supaya dapat menggubal dasar-dasar yang lebih mesra dan fleksibel demi kepentingan negara secara keseluruhannya.

Datuk Ir. Lawrence Low
Naib Presiden MCA
29 Julai 2025