KUALA LUMPUR: Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah selesai membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, pembentangan selama hampir dua jam itu disampaikan dengan penuh bertenaga dan bersemangat, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam melakar hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
"RMK13 bertemakan Melakar Semula Pembangunan dengan peruntukan keseluruhan RM611 bilion, memberi fokus utama kepada sektor ekonomi sebagai pemacu pertumbuhan negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Wee berkata, sesi perbahasan RMK13 akan dibuka kepada semua Ahli Parlimen dan beliau dijangka mengambil bahagian pada Selasa depan.
"Saya akan meneliti setiap butiran dalam RMK13 ini. Jika anda ada cadangan atau isu yang mahu saya suarakan di Parlimen, sila tinggalkan komen di bawah," katanya.
- Sumberkini