Tingkah laku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Nga Kor Ming yang menyebar video dan mendakwa para peserta Himpunan Turun Anwar telah dibayar RM200 untuk hadir adalah amat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila beliau sendiri tidak mengambil langkah untuk mengesahkan kesahihannya.

Akhirnya, Kor Ming seolah-olah terkena ludah sendiri apabila laporan media mendedahkan bahawa video tersebut diambil pada 5 Julai dan menunjukkan pemenang pertandingan memancing berkongsi hadiah wang. Maka, ia langsung tiada kena-mengena dengan Himpunan Turun Anwar.

Sikap tidak bertanggungjawab Kor Ming ini telah menyebabkan rakyat tidak bersalah difitnah semata-mata kerana agenda politik peribadi beliau, dan tidak setimpal dengan status beliau sebagai seorang Menteri Kabinet. 

Sebelum ini dalam isu siasatan MyKiosk, beliau telah mengancam akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu tersebut dengan alasan fitnah walaupun sekadar menuntut penjelasan berhubung skandal MyKiosk.

Justeru itu, Kor Ming disaran supaya menarik balik fitnah tersebut dan digesa supaya lebih berhati-hati serta bersikap adil dan rasional supaya tidak lagi membuat tuduhan tidak berasas. Beliau juga wajar memohon maaf kepada semua individu dalam video tersebut, dan juga kepada seluruh rakyat kerana telah mengelirukan mereka dengan tuduhan palsu. 

Tan Yang Pang
Naib Ketua Pemuda MCA
29 Julai 2025