Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow perlu memberi penjelasan sama ada benar seperti yang dilaporkan oleh media bahawa kerajaan negeri berhasrat mengurangkan Bantuan iSejahtera, daripada RM200 kepada RM150 atau RM100, dan menaikkan had umur kelayakan daripada 60 tahun kepada 65 tahun?

Jika laporan ini benar, maka Kon Yeow perlu menjelaskan sama ada kewangan kerajaan Pulau Pinang sedang menghadapi masalah, kerana jika tidak, mengapa kebajikan rakyat yang menjadi korban pada waktu harga barang semakin meningkat?

Kami mendapat maklumat ini melalui laporan berita, dan ini sudah tentu satu tamparan kepada warga emas yang kini berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat; harga barang naik, bantuan sudahlah tidak ditambah, dikurangkan pula.”

Menurut laporan media, rizab kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2018 berjumlah RM1.8 bilion, tetapi selepas 7 tahun kini hanya tinggal RM50 juta. Dalam keadaan kerajaan negeri mempunyai pelbagai sumber hasil cukai, bagaimana rizab tersebut boleh dibelanjakan sehingga hampir habis dalam tempoh yang singkat? Sehingga sanggup mengorbankan bantuan kepada warga emas?”

Walaupun kerajaan negeri menghadapi isu kewangan sekalipun, langkah penjimatan seharusnya dilaksanakan di bahagian lain seperti mengurangkan perbelanjaan pentadbiran yang tidak perlu dan membazir, bukannya mengorbankan kebajikan golongan yang lemah.

Datuk Tan Teik Cheng
Naib Presiden MCA
9 Mei 2025