Pemuda MCA menyifatkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes serangan simbah asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) adalah sesuatu yang amat mengecewakan, bukan sahaja kepada ahli keluarga Faisal tetapi juga seluruh peminat sukan bola sepak di negara ini.

Faisal, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 yang mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei tahun lalu telah mengubah hidupnya. Walaupun kembali beraksi di padang, namun beliau masih trauma dengan apa yang menimpa dirinya. Bukan sahaja kos rawatan, tetapi lebih berat ialah tekanan psikologi yang dihadapi sepanjang hidupnya. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan?

Keadilan wajib ditegakkan dan mana-mana pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang. Ini penting bukan sahaja bagi menuntut keadilan buat mangsa, tetapi juga bagi memelihara imej negara khususnya dari aspek meyakinkan dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara selamat dan lokasi pilihan bagi penganjuran acara sukan antarabangsa.

Justeru, Pemuda MCA menyeru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalannya, Adam Adli untuk mengambil tindakan segera dengan kerjasama Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang, Dato’ Seri Azalina Othman Said supaya membuka semula siasatan kes ini. Tidak cukup sekadar mengeluarkan kenyataan, sebaliknya ia memerlukan tindakan segera.

Dengan mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA, ia berupaya mendorong persepsi salah dikalangan orang ramai dimana penjenayah bebas melakukan apa sahaja tanpa dikenakan hukuman. Jika negara tidak mampu menjaga dan membela pemain bola sepak yang bersinar seperti Mickey, siapa lagi yang boleh kita harapkan?

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
9 Mei 2025