
Sebagai menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, amanah yang digalas hendaklah sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta negara.
Tindakan Menteri Ekonomi, YB Dato' Seri Mohd Rafizi Ramli yang tergamak bercuti selama empat (4) hari hanya kerana mahu menguruskan perihal pemilihan partinya, dan menyifatkan ia satu budaya politik baru yang wajar disemai, harus dihentikan dan tidak dijadikan ikutan pada masa akan datang.
Lebih mengecewakan, Rafizi bercuti di saat Sidang Khas diadakan di Dewan Rakyat pada 5 Mei 2025, berhubung tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara tersebut dan kesan ke atas ekonomi Malaysia.
Bagaimana seorang Menteri Ekonomi tidak berada di dalam Dewan Rakyat sedangkan Dewan yang mulia ini membincangkan tentang ekonomi negara?
Semoga apa yang berlaku ini biarlah yang pertama dan terakhir, cukup-cukuplah merosakkan sistem di negara ini dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat.
Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
9 Mei 2025