Belum selesai isu DRT Selangor, tular lagi di media sosial mengenai skandal terbaru 'Kartel DAP Kepong' melibatkan JMB Kuala Lumpur yang turut dikaitkan dengan Ahli Parlimen Kepong dari DAP iaitu YB Lim Lip Eng dan Pegawai Khasnya, Chua Choong Yin serta seorang lagi individu bernama Seow Choo Kiong.

Memetik kenyataan media sosial tersebut, 2 orang yang berkait rapat dengan pemimpin tersebut dikatakan cuba mengawal Badan Pengurusan Bersama (JMB - Joint Management Body) dan kini Management Corporation (MC) di kediaman berstrata. Perbuatan ini bukan sahaja dikatakan mencampuri urusan pelantikan kepimpinan JMB dan MC, tetapi juga menyalahguna kuasa untuk mengaut keuntungan daripadanya.

Sedia maklum, pengurusan kediaman berstrata merupakan antara bidang yang lumayan merangkumi khidmat pengurusan bangunan, kawalan keselamatan, perkhidmatan pembersihan, landskap serta penyelenggaraan bangunan.

Pembongkaran di media sosial itu juga mendedahkan bahawa 'Kartel DAP Kepong' ini mendapat lima (5) projek bernilai RM3.2juta atau lebih tepat, RM3,271,800 yang dibuat tanpa proses tatakelola tender yang betul.

Projek tersebut termasuk:

1. RM8,800 sebulan : Penyelenggaraan Landskap Bulanan

2. RM78,000 : Pemotongan Pokok

3. RM85,000 : Pembaikan Taman Bumbung

4. RM600,000 : Pembaikan Dek Kayu di Atas Bumbung (juga dikatakan syarikat bermodal RM2 dengan kali terakhir audit dikemukakan pada 2013)

5. RM2.5 juta : Kontrak Cat Kondominium

Sehubungan itu, YB Lim Lip Eng perlu tampil dan menjelaskan kepada orang ramai berhubung pembongkaran ini, khususnya terhadap para penghuni di kondominium-kondominium yang terlibat.

Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diberi ruang untuk menyiasat perkara ini secara bebas, adil dan telus tanpa ada campur tangan politik. Mana-mana pihak yang didapati bersalah wajar dikenakan tindakan tegas, tanpa memilih bulu demi memelihara imej baik Kerajaan Perpaduan.

Selepas skandal terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, projek kepada suami menteri DAP yang diberi tanpa tender terbuka dan kini 'Kartel DAP Kepong', maka sudah sampai masanya DAP diajar mengenai prinsip integriti dan nilai-nilai pentadbiran yang baik.

Usaha ini selaras dengan amalan dan seruan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang begitu komited dalam membanteras rasuah dan salahguna kuasa. Sebagai seorang warganegara prihatin, saya akan terus mempertahankan usaha murni ini dan menyokong sepenuhnya usaha PMX dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
10 Jun 2024

- Penerangan MCA