MCA mengemukakan lima cadangan untuk memulihkan dan menangani masalah kehadiran pelancong ke Langkawi yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.
Naib Presidennya, Datuk Lawrence Low Ah Keong berkata, isu berkaitan pelancongan di Langkawi perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja untuk manfaat penduduk tempatan tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sana.
Menurut beliau, antara perkara berbangkit yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah kebimbangan pelancong domestik terhadap isu harga makanan dan barangan yang dijual terlalu mahal.
“Semua pihak sama ada Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, agensi-agensi kerajaan, pemain industri merangkumi pengusaha-pengusaha tempat pelancongan dan peniaga perlu segera duduk semeja berbincang dan mencari penyelesaian terbaik.
“Usaha mempromosikan Langkawi perlu diteruskan bukan sahaja untuk menarik minat pelancong domestik, tetapi juga pelancong asing. Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berkelayakan juga perlu segera dilantik supaya agenda pembangunan Langkawi dapat diteruskan seiring matlamat penubuhannya sejak 1990.
“Selain jambatan kaca Eagle Nest dan pusat selam snorkel di Pulau Singa, Langkawi juga perlu menambah produk dan elemen baharu bagi memastikan Langkawi kekal segar sebagai destinasi pelancongan terbaik di Malaysia.
“Penting juga diingatkan bahawa industri pelancongan ini amat luas dan ia tidak boleh dikawal oleh mereka yang ekstremis dengan berfikiran sempit sehingga memberi kesan negatif,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, semakin ramai pengusaha makanan menutup operasi manakala pemilik kereta sewa pula melelong kenderaan masing-masing kerana tidak mahu menanggung hutang bank ekoran kemerosotan pelancong ke Langkawi.
Lawrence Low berkata, kemudahan, infrastruktur dan sistem pengangkutan awam di Langkawi juga perlu ditambah baik bagi mengelakkan ia menyebabkan penumpang dan pelancong mengalami masalah.
“Setiap harga samada makanan mahupun barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan perlu dipamerkan di tempat yang mudah dilihat. Ini bagi memastikan pelancong tidak berasa tertipu dengan dikenakan bayaran mahal atau tidak masuk akal.
“Pihak berkuasa juga perlu sentiasa berada dilapangan untuk memantau, seterusnya memastikan tiada pihak yang berani mengenakan harga tinggi dan meraih keuntungan melampau sehingga menekan pengguna.
“Semua pihak perlu berganding bahu; memperbaiki apa yang lemah dan kurang; mempergiatkan promosi dan memberi penerangan positif, seterusnya membawa kepada pemulihan serta mengembalikan zaman kegemilangan Langkawi,” katanya.
– Utusan