
cKepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tindakan proaktif beliau dalam menangani konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini adalah amat dipuji.
Usaha diplomatik segera yang diambil oleh YAB Perdana Menteri melalui panggilan telefon secara peribadi kepada Perdana Menteri Hun Manet dari Kemboja dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai dari Thailand telah membawa kepada satu kejayaan penting apabila kedua-dua pemimpin memberikan maklum balas positif terhadap pelaksanaan gencatan senjata sementara.
Perkembangan ini membuktikan komitmen Malaysia terhadap prinsip asas ASEAN antaranya: penghormatan terhadap kedaulatan, penyelesaian konflik secara aman, dan konsensus dalam membuat keputusan. Ini membuktikan ASEAN mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan dan pertikaian secara damai tanpa campur tangan luar.
Walaupun gencatan senjata sementara ini merupakan satu perkembangan positif, Negara-Negara Anggota ASEAN masih perlu bertindak secara kolektif dalam mencegah peningkatan konflik, melindungi nyawa orang awam, dan memastikan kestabilan jangka panjang di rantau ini.
Sekiranya ketidakstabilan dan konfrontasi ketenteraan berterusan, ia bukan sahaja akan menjejaskan keselamatan komuniti di kawasan sempadan, malah turut mengganggu aktiviti perdagangan dan ekonomi serantau, dan pergerakan rentas sempadan. Keadaan ini akan membawa risiko besar kepada pembangunan ekonomi ASEAN dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan beberapa langkah selaras dengan norma dan prinsip ASEAN, seperti berikut:
𝟏. 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐝𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐬𝐲𝐮𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐊𝐞𝐜𝐞𝐦𝐚𝐬𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐢𝐦𝐩𝐢𝐧 𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐌𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢 𝐋𝐮𝐚𝐫 𝐀𝐒𝐄𝐀𝐍
Bagi membincang dan menggalakkan gencatan senjata serta merangka halatuju bersama ke arah penyelesaian damai yang berterusan.
𝟐. 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐤𝐭𝐢𝐟𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚𝐧 ‘𝐆𝐨𝐨𝐝 𝐎𝐟𝐟𝐢𝐜𝐞𝐬’ 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐓𝐞𝐫𝐭𝐢𝐧𝐠𝐠𝐢 𝐝𝐢 𝐛𝐚𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐞𝐫𝐣𝐚𝐧𝐣𝐢𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐚𝐡𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐫𝐣𝐚𝐬𝐚𝐦𝐚 (𝐓𝐀𝐂).
ASEAN wajar menawarkan dirinya sebagai platform neutral untuk dialog dan membina keyakinan antara Thailand dan Kemboja.
𝟑. 𝐌𝐞𝐧𝐮𝐛𝐮𝐡𝐤𝐚𝐧 𝐊𝐮𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐓𝐨𝐤𝐨𝐡 𝐓𝐞𝐫𝐤𝐞𝐦𝐮𝐤𝐚 (𝐆𝐫𝐨𝐮𝐩 𝐨𝐟 𝐄𝐦𝐢𝐧𝐞𝐧𝐭 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐨𝐧𝐬 – 𝐆𝐄𝐏) 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐌𝐞𝐧𝐲𝐨𝐤𝐨𝐧𝐠 𝐔𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐚𝐦𝐚𝐧𝐚𝐧
Malaysia boleh mencadangkan pembentukan satu kumpulan yang terdiri daripada tokoh ASEAN yang dihormati, bekas diplomat berpengalaman dan tokoh masyarakat yang memahami secara mendalam konteks sejarah dan dinamik serantau. Peranan mereka termasuk:
• Memberi sokongan pengantaraan atau nasihat secara tidak rasmi;
• Menyediakan ruang diplomasi belakang tabir yang berkecuali dan berwibawa;
• Serta mengukuhkan hikmah kolektif ASEAN dan kesinambungan dalam pengurusan pertikaian.
𝟒. 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐠𝐚𝐥𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐋𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐡-𝐋𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐡 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐮𝐧 𝐊𝐞𝐲𝐚𝐤𝐢𝐧𝐚𝐧 (𝐂𝐨𝐧𝐟𝐢𝐝𝐞𝐧𝐜𝐞-𝐁𝐮𝐢𝐥𝐝𝐢𝐧𝐠 𝐌𝐞𝐚𝐬𝐮𝐫𝐞𝐬 – 𝐂𝐁𝐌𝐬)
ASEAN boleh menyokong langkah praktikal seperti pengunduran sementara pasukan keselamatan, mekanisme pemantauan bersama, dan kemudahan akses kemanusiaan sekiranya perlu.
𝟓. 𝐌𝐞𝐧𝐞𝐠𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚𝐚𝐧 𝐀𝐒𝐄𝐀𝐍 𝐝𝐚𝐧 𝐀𝐮𝐭𝐨𝐧𝐨𝐦𝐢 𝐒𝐞𝐫𝐚𝐧𝐭𝐚𝐮
Segala usaha mesti dilaksanakan dalam kerangka institusi ASEAN, tanpa campur tangan luar, sambil menegaskan komitmen terhadap keamanan, prinsip tidak campur tangan, dan keputusan secara konsensus.
Kepimpinan YAB Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah berjaya meredakan ketegangan dan membuktikan nilai diplomasi yang responsif dan berprinsip. Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, kini mempunyai peluang untuk memperkukuh dan memperbaiki institusi keamanan dan keselamatan serantau.
Ketika berhadapan dengan konflik, perpaduan mesti mengatasi perpecahan, dan diplomasi mengatasi konfrontasi. Kita mesti bertindak secara kolektif bagi memastikan ASEAN kekal bukan sekadar sebuah pertubuhan serantau, tetapi sebuah komuniti negara yang benar-benar komited kepada keamanan, kestabilan, dan kemakmuran bersama.
Neow Choo Seong
𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐊𝐡𝐚𝐬 (𝐇𝐮𝐛𝐮𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐀𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚) 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐌𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢
𝟐𝟓 𝐉𝐮𝐥𝐚𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟓