Pemuda MCA mendesak Kementerian Kewangan supaya memberi penjelasan yang telus kepada rakyat mengenai sebab sebenar pembatalan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menyenaraikan beberapa sumber cukai baharu, termasuk Cukai Barangan Harga Rendah (LVG), dan mendakwa kerajaan kini mempunyai “kutipan cukai yang mencukupi”, sekali gus memperkukuh keputusan untuk tidak melaksanakan HVGT. Namun pada masa yang sama, kerajaan memotong subsidi asas untuk telur ayam, dan diesel yang menyebabkan kos sara hidup rakyat marhaen terus melonjak.

Kerajaan memilih untuk memanjakan golongan berpendapatan tinggi atau maha kaya dengan membatalkan HVGT, tetapi dalam masa yang sama memindahkan beban fiskal kepada rakyat biasa — inilah contoh jelas satu dasar yang ‘mengutamakan si kaya’, yang amat bertentangan dengan prinsip kemakmuran, keadilan dan kesaksamaan yang sering dilaungkan kerajaan.

Anwar pernah menyatakan bahawa cukai keuntungan modal (CGT) dijangka menyumbang sekitar RM800 juta setahun, selain pelarasan kadar cukai jualan serta peluasan liputan cukai perkhidmatan (SST) dijangka meningkatkan hasil negara sebanyak RM5 bilion tahun ini, justeru menyatakan bahawa kutipan cukai sudah mencukupi.

Tetapi mengapa kerajaan masih kenakan cukai 10% LVG kepada rakyat biasa, malah barangan keperluan yang dibeli secara dalam talian juga tidak terkecuali? Sedangkan barangan mewah seperti beg tangan berjenama, kereta mewah, kapal layar dan lain-lain untuk golongan kaya pula ‘dikecualikan’ daripada cukai. Ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah menunjukkan ketidakadilan dalam hala tuju dasar kerajaan.

Sedang golongan berpendapatan rendah dan sederhana kini berhadapan tekanan kos sara hidup yang belum pernah dialami sebelum ini, kerajaan seharusnya memperkenalkan sistem percukaian yang bersasar dan berkesan untuk mengukuhkan pengagihan semula kekayaan serta mengurangkan jurang kaya-miskin. Pelaksanaan HVGT sebenarnya adalah satu langkah cukai yang berlandaskan prinsip keupayaan membayar, dan tidak akan menjejaskan secara langsung majoriti rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagaimana kerajaan boleh berkata bahawa kewangan negara dalam keadaan tenat, tetapi dalam masa yang sama mendakwa hasil cukai “sudah mencukupi” sambil membatalkan HVGT? Jika benar sudah cukup, mengapa perlu potong subsidi penting? Mengapa tidak salurkan sumber kepada sektor kesihatan dan pendidikan yang benar-benar menyumbang kepada kesejahteraan rakyat? Sebaliknya, kerajaan terus memperkenalkan program seperti SATU, Rakan KKM dan lain-lain yang membolehkan golongan kaya ‘potong barisan’ masuk ke universiti awam atau hospital kerajaan hanya kerana mereka mampu bayar?

Jika kerajaan terus mengamalkan dasar sebegini yang menindas rakyat marhaen dan melebihkan golongan kaya, ia hanya akan memburukkan lagi jurang pendapatan dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam masyarakat. Kami dengan tegas menyeru kerajaan untuk kembali kepada dasar yang berpaksikan rakyat dan mengutamakan keadilan.

Saw Yee Fung
Setiausaha Agung Pemuda MCA
30 Julai 2025