Heret mereka yang cuai dalam kes Pulau Batu Puteh – MCA
Segera luluskan pembinaan sekolah Cina dibiayai awam, kerajaan diberitahu  

Kerajaan negeri Johor bertekad membanteras isu penyalahgunaan dadah

Pada Rabu    15-03-2023 14:12:00

Susulan daripada keratan akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk Johor Negeri Paling banyak penagih pada 14 Mac 2023, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, merasakan ini telah menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Negeri Johor dalam membanteras isu penyalahgunaan dadah.

Tangkapan penagih dadah yang tinggi merupakan hasil tindakan peningkatan operasi penguatkuasa serta tindakan agresif dan proaktif. Kadar prevalens bilangan penyalahgunaan dan penagih dadah yang dicatatkan di Negeri Johor pada tahun 2022 adalah dalam keadaan terkawal iaitu 356 orang per 100,000 orang penduduk, yang mana Negeri Johor berada di tangga kesepuluh (ke-10) berbanding negeri-negeri lain.
Pada tahun 2022, Johor mencatat jumlah tertinggi individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebanyak 14,317 orang penyalahguna dan penagih dadah, meningkat sebanyak 7.96% berbanding 13,261 orang yang dilaporkan pada tahun 2021.
Jumlah ini merupakan sebahagian 137,176 individu yang positif di seluruh negara antara Januari hingga Disember tahun 2022. Jumlah klien yang melapor diri untuk menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti di AADK Daerah di Negeri Johor pula dicatatkan sebanyak 4,707 orang sehingga bulan Disember tahun 2022. Peningkatan jumlah ini disumbang oleh tindakan agresif dan proaktif rakan strategik AADK terutamanya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah di Negeri Johor.

Hal ini dbuktikan dengan peningkatan tangkapan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sebanyak 28.7%. Pihak PDRM juga telah menjalankan sesi dialog antara YDH Ketua Polis Negeri Johor bersama komuniti di beberapa lokaliti serta melaksanakan sesi temubual bersama tangkapan penagih bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu penagihan dan narkotik di lokaliti berkenaan. Data penyalahguna dan penagih dadah ini diperoleh secara kumulatif berdasarkan perkongsian maklumat daripada sistem MyAADK, laporan pihak PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP).
Berdasarkan kadar purata yang diterima (acceptable range) yang ditetapkan oleh United Nation Office On Drugs and Crime (UNODC), kadar prevalens bilangan penyalahguna dan penagih yang dicatatkan di Negeri Johor pada tahun 2022 adalah dalam keadaan terkawal iaitu 356 per 100,000 orang penduduk, yang mana Negeri Johor berada di tangga kesepuluh (ke-10) berbanding negeri-negeri lain.

Isu penyalahgunaan dadah bukanlah isu baharu dan merupakan masalah global yang perlu ditangani secara holistik melibatkan pelbagai pihak. Melalui tindakan kolaboratif antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor bersama rakan strategik dan rakan pintar yang terdiri daripada daripada Jabatan/Agensi Kerajaan dan Swasta, serta Badan-Badan Bukan Kerajaan/NGO’s yang signifikan, usaha mempergiat serta memperluaskan program pembasmian dadah telah dilaksanakan sebagai langkah untuk memperkukuhkan lagi kepulihan penyalahguna dan penagih dadah serta memutuskan rangkaian permintaan dan penawaran dadah di Negeri Johor.

Jaringan sosial antara pihak AADK, Kerajaan Negeri Johor, rakan strategik dan rakan pintar yang telah wujud membantu pihak kerajaan dalam pengumpulan maklumat dan data berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah di Negeri Johor.

Pada 13 Mac 2023, saya telah mengetuai Operasi Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD) dengan menyerbu ‘port’ dadah. Kerajaan Negeri Johor amat peka kepada isu penyalahgunaan dadah dan kesihatan Bangsa Johor. YAB Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz telah memperkenalkan ”Maju Johor” dan mengariskan 6 teras. Antara 6 teras itu adalah Johor Bersih dan Johor Selamat. Kerajaan Negeri Johor bertekad menjayakan teras ini dan telah mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.

Melalui AADK Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Johor menerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor telah merangka inisiatif Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD). Inisiatif ini telah dirangka dalam tempoh lima (5) tahun bermula 2021 hingga 2025 selari dengan matlamat Dadah Terkawal 2025 yang berfokus kepada penghijauan 17 mukim Kawasan Berisiko Tinggi di Negeri Johor.

Daripada kerjasama strategik ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan dalam Belanjawan Johor 2023 sebanyak RM200,000.00. Program ini diberikan khas untuk memastikan Bangsa Johor cakna berkaitan dengan masalah penyalahgunaan dadah yang melibatkan kumpulan sasar sekolah, belia di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), komuniti setempat dan pemimpin/ketua masyarakat.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga pada tahun 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi Pembelian Alat Ujian Mengesan Dadah bagi tujuan mengenalpasti mereka yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah merangkumi pelajar sekolah, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan penjawat awam di Negeri Johor.

Bengkel ‘Training of Trainers’ Pemimpin Masyarakat Madani Johor juga telah dilaksanakan bagi tujuan untuk memberikan pendedahan kepada ketua masyarakat di dalam Negeri Johor untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam usaha pembasmian dadah di kawasan lokaliti masing-masing.

Kerajaan Negeri Johor dengan semangat Maju Johor akan terus memantau situasi penyalahgunaan dan penagihan dadah di Negeri Johor dan mempergiatkan penguatkuasa serta operasi supaya menjadikan negeri Johor bersih dan selamat didiami Bangsa Johor.

Sekian, terima kasih.

Oleh: Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor

- Facebook AH SOON

Berita Berkatian

397 keluarga terima BWI RM1,000 fasa pertama MDYP

Kes gangguan emosi di Johor tinggi selepas penularan Covid-19

Banjir: Johor sedia khidmat sokongan kesihatan mental kepada mangsa

JKNJ laksana pelbagai strategi tangani masalah kesihatan mental

27 penagih dadah ditahan di ‘port bakau’