21 September 2022
Kenyataan Media Timbalan Pengerusi MCA Johor, Senator Datuk Lim Pay Hen
Meludah ke langit, kena muka sendiri – Kit Siang ahli politik yang paling tidak boleh dipercayai
Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Hasni Mohammad telah mendakwa bahawa adanya desas-desus yang mengatakan veteran DAP, YB Lim Kit Siang akan bertanding di kerusi Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang. Kit Siang telah menafikan perkara ini, dan menuduh Hasni menyebar berita palsu.
Saya ingin menasihati Kit Siang supaya ‘cermin diri sendiri’ terlebih dahulu sebelum melempar kritikan terhadap orang lain. Ini kerana Kit Siang sudah berkali-kali membuktikan diri sebagai penyebar berita palsu dan tidak menepati janjinya. Malah, boleh dikatakan beliau adalah ahli politik yang paling tidak boleh dipercayai di Malaysia.
Rakyat Malaysia tentu masih ingat semasa Kit Siang mencabar Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan pada Mei 2019 lalu, katanya kalau Tun Dr Mahathir tidak memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, maka Kit Siang akan bersara daripada politik. Melihat kepada realiti hari ini di mana Mahathir tidak memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, adakah Kit Siang mengotakan janjinya untuk bersara daripada politik?
Semasa Kongres Kebangsaan DAP pada awal tahun ini, Kit Siang sekali lagi mengumumkan bahawa beliau akan bersara daripada politik dan tidak akan bertanding dalam pemilihan parti serta PRU15. Tidak lama kemudian, Kit Siang mengatakan bahawa beliau “tidak akan bersara dari politik sepenuhnya.”
Malah, Kit Siang juga sering kali menggunakan ‘persaraan’ beliau untuk menagih simpati orang ramai. Tidak kira berapa kali Kit Siang mendakwa dirinya akan “bersara”, hakikatnya beliau masih lagi aktif berpolitik sehingga ke hari ini.
Sikap beliau yang sering bertukar-tukar kerusi dalam pilihan raya juga menyerlahkan lagi betapa tidak konsistennya Kit Siang, sehinggakan penduduk di kawasan yang ditandinginya sering mengadu ke mana hilangnya wakil rakyat mereka?
Namun, apa yang paling mengejutkan adalah pusingan-U oleh Kit Siang selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pusat. Walaupun beliau berkali-kali menuduh Tun Dr Mahathir sebagai seorang diktator dan “Bapa Rasuah”, namun sebaik sahaja PH menang PRU14, Kit Siang menafikan pula dakwaan tersebut.
-MCA online-