Pemuda MCA tidak akan menyertai sebarang aktiviti kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan untuk bertanding, seiring keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA semalam.

Menurut Ketua Pemuda MCA, YB Ling Tian Soon, Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA yang bermesyuarat hari ini turut membincangkan tentang isu-isu membabitkan kepentingan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup.

Dalam masa sama, perbuatan salah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.21 juta bagi menaik taraf fasiliti infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Projek Kampung Baru Cina di Kuala Kubu Baharu ketika tempoh PRK DUN KKB turut dibincangkan. Sedangkan semasa Nga bersama partinya DAP menjadi pembangkang, perbuatan sedemikian diktritik dan dikatakan sebagai pemberian rasuah kepada pengundi.

"Pemuda MCA akan terus memantau perbuatan salah, rasuah dan tidak mengamalkan tatakelola baik oleh mana-mana menteri atau pihak berkuasa sebagai kerajaan pemerintah, demi menjaga nama baik Kerajaan Perpaduan," tegas beliau.

Selain itu, Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA turut melahirkan kebimbangan mengenai kemerosotan ranking Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil langkah proaktif khususnya memperkasakan isu keselamatan lapangan terbang bagi mengelak kejadian tembakan yang berlaku baru-baru ini tidak berulang.

Sedia maklum negara sedang menuju dan mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Maka itu, kejadian sedemikian yang berkaitan keselamatan orang ramai termasuk pelancong asing wajar dipandang serius. Penting untuk memulihkan imej negara dan memberi keyakinan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang selamat dilawati.

Jawatankuasa Eksekutif Pemuda MCA 20 April 2024

- Penerangan MCA