Lebih banyak program membabitkan penyertaan masyarakat Orang Asli akan dirangka dan dianjurkan bagi mendekatkan jurang komuniti itu dengan penduduk setempat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pergaulan masyarakat Orang Asli bersama penduduk setempat penting bagi membantu mereka mengubah kehidupan kearah lebih baik dan seiring dengan pembangunan.

“Secara dasarnya kita melihat terdapat jurang antara masyarakat Orang Asli dengan penduduk setempat, untuk itu kita cuba mencari inisiatif bagi menarik mereka bersama-sama dalam setiap penganjuran program.

“Apabila mereka ini dibawa bersama memeriahkan program secara tidak langsung ia memberi satu sudut pandangan berbeza dan membina hubungan baik bersama masyarakat setempat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Machap Jaya, baru-baru ini.

Hee Sem berkata, terdapat tujuh perkampungan masyarakat Orang Asli sekitar DUN Machap Jaya dengan anggaran jumlah penduduk seramai kira-kira 500 orang.

“Mereka ini tidak pernah dipinggirkan malah sentiasa diberi perhatian, contoh setiap kali Ramadan dan Syawal kita akan turun ke setiap perkampungan ini bagi menyampaikan bantuan.

“Malah untuk Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Machap Jaya juga kita bawa seramai 150 masyarakat Orang Asli bagi memeriahkan sambutan selain memberi peluang juga kepada mereka membuat persembahan,” katanya.

Menurutnya, selain itu pihaknya sedang merancang untuk menganjurkan beberapa kursus kemahiran jangka pendek dengan fokus penyertaan dalam kalangan belia dan suri rumah masyarakat Orang Asli.

“Saya sendiri ada berjumpa dengan tok batin dan hal ini juga ada dibincangkan, untuk itu kita akan lihat beberapa kursus yang sesuai antaranya jahitan atau kemahiran lain,” katanya.

- Melaka Hari Ini