Pada sesi Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bertanya bagaimana pemberian insentif kewangan RM42 juta kepada pengilang gula dapat memanfaatkan rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dalam jawapannya berkata pemberian insentif kewangan sebanyak RM42 juta kepada pengilang gula yang dilaksanakan ketika ini merupakan langkah sementara untuk memastikan kesinambungan pengeluaran gula sementara kementerian mencari jalan penyelesaian yang lebih kemas, tuntas dan mampan.

"Penyelesaian berkaitan perkara berkenaan mesti dicapai menerusi hasil libat urus dengan semua pihak industri termasuk peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Kita paling khuatir bukan penggunaan domestik tetapi kegunaan industri kecil atau mikro seperti mereka yang jual kuih bahulu, air balang, apam balik, akok dan sebagainya. Ini yang banyak guna gula.

"Kalau domestik ini kita boleh kawal lagi, mereka menggunakan dua kilo lebih sebulan setiap isi rumah. Jadi, sekiranya harga gula tidak dikawal maka ada kesan kepada inflasi, ada kesan kepada rantaian yang lain-lain seperti harga makanan, air dan sebagainya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam masa sama, Presiden MCA itu turut bertanyakan mengenai purata kos pengeluaran sebiji telur ayam sebanyak 48 sen, iaitu lebih tinggi berbanding harga kawalan.

"Tahun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, kos pengeluaran sebiji telur ayam adalah 48 sen. Ini merupakan ujian mekanisme kawalan harga. Bagaimana dalam keadaan kita mengaku kos pengeluaran tinggi, tetapi tetap mengawal harga pada 41, 43, dan 45. (45 sen bagi gred A, 43 sen bagi gred B dan 41 sen bagi gred C). Bagaimana kementerian bertindak atas 'demand dan supply'," kata Ka Siong.

Namun, soalan berhubung harga kawalan telur ayam itu tidak dijawab oleh Fuziah.

Rakaman video DI SINI

- Penerangan MCA
26 Mac 2024