Seruan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming kepada peminjam PTPTN untuk membayar balik hutang mereka telah menerima kecaman dan kritikan dari pelbagai pihak.
Dalam video yang dipaparkan oleh Nga Kor Ming yang juga pemimpin DAP di media sosial rasminya, beliau telah menyindir mereka yang belum membayar hutang PTPTN dan mendakwa mereka mencuri masa depan generasi masa depan Malaysia.
Tentu ramai yang masih ingat, pemimpin-pemimpin dari PH yang mula-mula menghasut peminjam PTPTN supaya tidak membayar balik hutang mereka. Mereka menabur janji bulan dan bintang, kata jika mereka tawan Putrajaya dan menjadi kerajaan, mereka akan memansuhkan semua hutang PTPTN.
Terdapat juga gambar Adam Adli yang kini bergelar YB serta menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan turun berdemonstrasi dan memegang plakad memfitnah PTPTN sebagai “tipu pelajar”.
Janji hapus PTPTN dan beri pendidikan percuma ini telah dibuat ramai pemimpin PH, atau Pakatan Rakyat sebelum ini, sejak tahun 2012. Mana perginya janji ini?
Sebelum berkuasa, janji hendak hapuskan PTPTN dan beri pendidikan percuma, apabila sudah berkuasa, bukan sahaja tidak mengotakan janji tetapi juga menuduh peminjam PTPTN merampas masa depan generasi akan datang.
Dalam video tersebut, Nga Kor Ming juga berkata peminjam PTPTN usah bercakap tentang mengubah kerajaan sekiranya mereka sendiri tak mahu membayar balik hutang.
Bagaimana pula dengan pemimpin PH seperti Nga Kor Ming? Adakah mereka berubah? Adakah janji mereka kepada rakyat ditunaikan? YB, janganlah hipokrit!
Ivone Low
Ketua Beliawanis MCA
29 Oktober 2024
- Penerangan MCA