
Pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa semua kenderaan komersial wajib memakai Speed Limitation Device (SLD) bagi mengurangkan risiko kemalangan amat dialu-alukan dan disifatkan tepat pada masanya memandangkan beberapa kemalangan maut kebelakangan ini yang membabitkan kenderaan berat
Namun begitu, kerajaan juga disaran memberi penekanan kepada aspek-aspek lain seperti keadaan jalan raya dan infrastruktur berkaitan, keadaan kenderaan, lampu jalan raya yang secukupnya serta mengambil kira keletihan para pemandu kenderaan berat dan keperluan mewajibkan pemandu tambahan, serta waktu kerja pemandu.
Sepertimana yang pernah dibangkitkan Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong semasa perkhidmatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan pada Mac 2022, langkah menyeluruh 3E – penguatkuasaan, kejuruteraan, pendidikan (enforcement, engineering, education) perlu diambil dan bukan hanya tertumpu kepada had kelajuan sahaja.
Sekatan jalan berkala di kawasan tumpuan, kekerapan rondaan yang dipertingkat, penyamaran di lapangan dan mengenakan hukuman berat wajar dipertimbangkan.
Dalam pada itu, kerajaan dan Kementerian Pengangkutan disaran supaya memastikan bahawa pihak operator pengangkutan turut dipertanggungjawabkan untuk mana-mana kemalangan, dan bukan hanya pemandu. Tujuannya supaya dapat mengelakkan sikap sambil lewa dan fokus yang berpaksikan untung dengan menjimat kos, yang menyebabkan keadaan kenderaan berat tidak sempurna di jalan raya, dan secara langsung membahayakan pengguna jalan yang lain.
Kerajaan juga digesa untuk meningkatkan usaha mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya seterusnya memastikan jalan raya di negara ini selamat untuk semua.
Lee Yee Yuan
Naib Ketua Pemuda MCA
31 Julai 2025