MCA cadang buka keahlian kepada bukan Cina
Membalas kenyataan Ridhuan Tee  

Ucapan Dasar Presiden sempena AGM MCA 2019

Pada Ahad    01-12-2019 12:25:00

Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung MCA 2019

YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden UMNO

 

YB Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional merangkap Timbalan Presiden UMNO

 

YBhg Dato’ Dr. Mah Hang Soon

Timbalan Presiden MCA

 

YB Tan Sri S A Vigneswaran

Presiden MIC

 

YB Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Setiausaha Agung Barisan Nasional

 

YBhg Tan Sri Tan Koon Swan dan

YBhg Dato’ Seri Liow Tiong Lai

Mantan Presiden MCA dan semua veteran MCA

 

Naib-naib Presiden, Ketua-ketua sayap UMNO, MCA dan MIC

Para perwakilan, pengamal media serta hadirin sekalian, selamat pagi dan selamat sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana hadir pada hari ini bagi merasmikan Perhimpunan Agung MCA bagi tahun 2019. Begitu juga dengan kehadiran pimpinan-pimpinan Barisan Nasional. Walaupun kini bergelar pembangkang, namun Barisan Nasional tetap dengan semangat setiakawan yang sudah terjalin sejak 60 tahun lalu ketika Perikatan ditubuhkan. Inilah keakraban kita sejak sekian lama. Keakraban yang erat bagai adik beradik ini juga menjadi kunci kepada kekuatan kita.

Ia dapat dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil di Tanjung Piai barubaru ini apabila calon kita Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng yang mewakili Barisan Nasional telah berjaya meraih kemenangan besar dengan majoriti sebanyak 15,086 undi.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri S A Vigneswaran serta kepimpinan tertinggi Barisan Nasional yang telah membuat satu keputusan secara kolektif dalam memilih calon untuk PRK Tanjung Piai. Biarpun sukar namun ia dapat diatasi dengan penuh penelitian secara musyawarah. Amalan bermusyawarah bagi mencapai keputusan konsensus ini terus diamalkan dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim sebagai adik beradik.

Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera parti Barisan Nasional yang bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah mahupun berhujan panas, semata-mata mahu memastikan kemenangan ini menjadi milik kita. Ini bukanlah kemenangan MCA semata-mata tetapi merupakan kemenangan kita bersama.

Kita juga dapat menyaksikan kehadiran pemimpin-pemimpin utama UMNO seperti Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Naib-naib Presiden Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid dan Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin bersama Ketua-ketua sayap seluruh peringkat, baik di peringkat negeri, bahagian dan cawangan yang turun berkempen siang dan malam. Saya dan MCA amat menghargainya.

Turut dihargai kehadiran mantan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tokoh hebat yang juga mantan Menteri Kewangan pada tahun 1976 - 1984 Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Razaleigh Tengku Mohd Hamzah, mantan Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan veteran-veteran politik. Sejujurnya saya terharu dengan kehadiran tokoh-tokoh hebat ini.

Dari segi pengoperasian pula, YB Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung UMNO dan YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut menggembleng tenaga menerajui Bilik Gerakan PRK. Inilah semangat kebersamaan yang telah ditunjukkan oleh seluruh jentera UMNO untuk memenangkan calon MCA Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng.

Ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada jentera MIC di bawah Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran bersama Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan kepimpinan MIC yang turun ke lapangan sepanjang tempoh berkempen di PRK Tanjung Piai. Bahkan, Tan Sri S A Vigneswaran sedari awal telah memberikan sokongan penuh dan mengerahkan seluruh cawangan dan jenteranya bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional.

Tidak lengkap sekiranya saya tidak melahirkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin dan jentera MCA pelbagai peringkat yang berhempas pulas sepanjang berkempen. Syabas dan terima kasih saya ucapkan.

Pada waktu sama, sekalung penghargaan buat rakan seperjuangan kita dalam blok pembangkang iaitu PAS. Kehadiran Presidennya Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bersama Timbalan Presiden Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha PAS Pusat, Dato' Takiyuddin Hassan dan seluruh pimpinan serta jentera PAS pelbagai peringkat turut bersungguh-sungguh dalam memenangkan calon Barisan Nasional.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan pembangkang, Friends of BN, anak-anak muda dan penyokong-penyokong pembangkang yang bersama-sama menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional di Tanjung Piai.

Kemenangan kita di Tanjung Piai juga membuktikan bahawa Muafakat Nasional yang dibina atas semangat solidariti pembangkang dengan tidak meminggirkan mana-mana kaum benar-benar diterima oleh rakyat yang cintakan perpaduan serta kestabilan politik. Saya yakin Dato’ Seri Wee Jeck Seng akan memberikan khidmat terbaik untuk warga di Tanjung Piai tanpa mengira kaum - Wee Jeck Seng adalah wakil rakyat untuk semua.

Para perwakilan dan hadirin sekalian,

Muafakat Nasional berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan pada waktu yang sama menyokong nilai-nilai sejagat yang menitikberatkan elemen kepelbagaian serta kesederhanaan. Kebersamaan ini dapat diacu bersama demi kebaikan rakyat secara keseluruhannya. Tambahan pula keunikan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama harus dipelihara kerana ianya adalah warisan serta khazanah negara.

Pastinya kemenangan besar di Tanjung Piai merupakan nafas baru dan satu suntikan semangat buat MCA serta Barisan Nasional dalam usaha merampas kembali Putrajaya daripada Pakatan Harapan. Dalam masa sama, janganlah kita leka dan lalai dengan kemenangan ini kerana fokus utama kita adalah Pilihan Raya Umum ke 15 yang tinggal beberapa tahun saja lagi.

Seperti yang kita semua maklum, rakyat hari ini sudah semakin muak dengan kerajaan Pakatan Harapan yang terbukti gagal mengotakan janji manifesto dan memperjuangkan nasib rakyat. Malah senario dalam negara kita baik aspek perpaduan mahupun ekonomi, amatlah merisaukan.

Atas solidariti pembangkang jugalah kita dapat bersama-sama membongkar salahlaku kerajaan Pakatan Harapan. Contoh terbaru, skandal RM1.4 bilion yang berlaku dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Isunya adalah mengenai tender terbuka yang ditukar kepada rundingan terus. Sedangkan Pakatan Harapan semasa bergelar pembangkang, beriya-iya mahu segala pemberian kontrak kerajaan perlu dibuat secara tender terbuka. Malangnya, Ketua Setiausaha di kementerian pula ditukarkan tempat kerja atas dakwaan kononnya mensabotaj Menteri. Sedangkan, yang tulis surat kepada Perdana Menteri untuk memohon kontrak secara rundingan terus ialah Menteri sendiri. Tapi yang kena tukar kerja, penjawat awam pula.

Tidakkah ia sesuatu yang aneh dan zalim?

Kita membongkarkan penyelewengan atau salahlaku pemerintah dengan tujuan semak dan imbang adalah bersandarkan kepada fakta, bukannya fitnah semata-mata. Matlamat pembangkang adalah mempraktikkan amalan semak dan imbang terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang seringkali melakukan kesilapan dalam pentadbiran malah selalu membuat pusingan U. Dulu kata tiada lagi rundingan secara terus dan 100% dibuat menerusi tender terbuka. Tiba-tiba rundingan terus yang tidak selari dengan janji manifesto PH kini dihalalkan pula.

Begitu juga dengan isu peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KU TAR). Menteri Kewangan daripada DAP tergamak mempolitikkan peruntukan kepada para pelajar yang berpendapatan rendah hanya kerana dendam politik. Dulu semasa zaman pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, soal pendidikan sering diutamakan. Secara komulatif, kerajaan Barisan Nasional telah memberi dana sebanyak RM1.353 bilion untuk tempoh 50 tahun dari 1969 hingga 2018. Tetapi bila Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, Lim Guan Eng membatalkan geran padanan dan selepas PH tewas di PRK Tanjung Piai, dia kemudiannya mengumumkan RM30 juta geran padanan kepada Persatuan Alumni KU TAR (TAA).

KU TAR sebagai institusi pengajian tinggi yang berjaya melahirkan lebih 200,000 graduan pelbagai kaum sejak ditubuhkan pada tahun 1969 kini menderita akibat dendam politik pemimpin Pakatan Harapan. Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Para perwakilan dan hadirin sekalian,

Mengenai halatuju parti MCA dan Barisan Nasional, sememangnya kita merupakan sebuah parti yang mendokong kesederhanaan, sentiasa berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, progresif dan 'centrist' atau moderat. Inilah kekuatan sebenar kita.

Selama mentadbir negara sejak 6 dekad lalu, kita telah melalui pelbagai cabaran berliku dalam usaha memacu Malaysia ke arah yang lebih baik serta membangun seiring negara-negara maju lain. Soal perpaduan nasional, ekonomi, pendidikan, kesejahteraan rakyat, kedaulatan negara bahkan hubungan diplomasi di peringkat antarabangsa sering menjadi keutamaan kita. Halatuju demi kepentingan rakyat dan tanahair ini akan terus kita semarakkan sehinggalah kita kembali mentadbir negara suatu masa nanti. Bagi kita, tiada apa yang lebih penting selain rakyat dan negara yang dicintai ini. 

Sudah tentu, kita mengambil iktibar dengan kekalahan dalam PRU14 lalu. Pastinya mesej rakyat sebagai suara keramat memberi pengajaran kepada kita untuk bermuhasabah serta memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Justeru itu kita akan memastikan bahawa sifat-sifat negatif seperti ego, angkuh dan bermulut celupar tidak sesekali dipraktikkan. Apa yang lebih utama ialah mengekalkan keamanan, mengeratkan silaturahim sesama masyarakat dan sentiasa mendengar suara rakyat. Dengan itu barulah rakyat akan kembali dan terus menyokong kita.

Dalam konteks yang lebih besar dan kehadapan, MCA juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik sama ada di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah dan Sarawak, atas semangat solidariti pembangkang, selagi ia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan, kepelbagaian dan kesederhanaan. 

Dalam masa sama, kita juga akan menonjolkan kepimpinan Barisan Nasional yang progresif serta pragmatik sekaligus dapat menawan hati segenap lapisan masyarakat dan ia merupakan keutamaan yang telah kita pupuk selama ini.

Saya cuma mengharapkan politik baharu ini dapat mengurangkan persengketaan dalam kalangan masyarakat kita. Kita sepatutnya dapat hidup dalam persekitaran yang harmoni tanpa menyakitkan hati orang lain serta sentiasa bersifat inklusif bersandarkan kepada nilai-nilai sejagat.

Kita harus meningkatkan kekuatan dalam semangat Muafakat Nasional, kebersamaan dan kesederhanaan ini demi kepentingan rakyat sekaligus dapat menjadi parti alternatif terbaik bagi menggantikan Pakatan Harapan yang terbukti gagal membela rakyat serta mentadbir negara. Saya percaya semangat murni ini juga akan terus merebak ke seluruh pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak. 

Para perwakilan dan hadirin sekalian,

Dikesempatan ini, saya juga ingin mengumumkan bahawa parti MCA akan meminda Perlembagaan Parti bagi menerus dan memantapkan kemasukan Ahli Bersekutu MCA yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Biarpun MCA lebih sinonim dengan masyarakat Cina tetapi parti ini lebih bersifat terbuka dengan memperjuangkan nasib semua kaum di Malaysia ini. Sedari dulu, MCA sememangnya bersifat moderat atau kesederhanaan dan tidak sesekali meminggirkan mana-mana kaum.

Dengan memperhebatkan kemasukan Ahli Bersekutu ini, diharapkan ia dapat menambah nilai perjuangan MCA seiring objektif penubuhan parti. Para Ahli Bersekutu diberi ruang dan peluang untuk menyumbang pandangan demi kepentingan parti khususnya serta masyarakat dan negara amnya.

Penyertaan Ahli Bersekutu MCA ini sebenarnya sudah pun kita wujudkan sejak penubuhan awal MCA. Saya masih ingat, antara Ahli Bersekutu yang terawal bersama MCA merupakan seorang lelaki berbangsa India. Maka itu, saya berharap penyertaan Ahli Bersekutu MCA ini akan ditingkatkan sekaligus membuka lembaran baharu yang hebat dalam arena politik negara. 

Selain itu, saya juga ingin menyatakan bahawa MCA akan meminda Perlembagaan Parti bagi menurunkan had umur untuk menyertai parti dari 18 tahun kepada 16 tahun. Ini seiring dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 lalu. Dalam sejarah, Ahli Parlimen pembangkang dan Ahli Parlimen Kerajaan seia sekata apabila menyokong pindaan perlembagaan tersebut.

Ini membuktikan, kita menyedari hakikat bahawa generasi muda merupakan tonggak utama dan bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Suara dan pandangan mereka akan terus mendapat perhatian serius daripada MCA. Diharapkan dengan penurunan had umur ini akan memudahkan generasi muda untuk mengenali serta memahami perjuangan parti MCA secara lebih dekat sekaligus menjadi pemimpin berwibawa pada masa hadapan.

Para perwakilan dan hadirin sekalian,

Seterusnya, saya akan berucap dalam Bahasa Mandarin. Buat pertama kali dalam sejarah, kami turut menyediakan terjemahan bagi memudahkan kefahaman semua. Ini juga membuktikan bahawa kita sentiasa konsisten, ikhlas dan tidak menjadi seperti ‘talam dua muka’ dalam melontarkan pendirian parti.

-MCA online-

 

Berita Berkatian

Membalas kenyataan Ridhuan Tee

Tiong Lai tidak mampu menahan deraian air mata