22 Julai 2021

Kenyataan Media Biro Publisiti MCA

Bersama bantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19, hentikan mainan politik perkauman

Saat pemimpin-pemimpin MCA bertungkus-lumus membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, wujud pula segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan isu perkauman dengan niat menghasut dan menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Pada 11 Julai lalu, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA telah mengadakan dua program berbeza di kawasannya.

Pertama, program pengagihan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan. Kedua, program khas untuk mengagihkan sumbangan daripada dermawan prihatin. Program ini dibuat secara besar-besaran dan sumbangan ini diberikan kepada 1,000 buah keluarga.

Malangnya, gambar-gambar dari dua program ini telah disalahgunakan untuk melempar fitnah kononnya kaum Melayu mendapat lebih sumbangan berbanding kaum Cina.

Ia harus ditekankan bahawa MCA sentiasa memberi bantuan tanpa mengira kaum dan agama, malah perbezaan politik juga tidak diambil kira. MCA membantu semua yang memerlukannya kerana kita semua adalah rakyat Malaysia.

Bagi mengelakkan orang ramai terus terpengaruh dengan dakyah songsang segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, maka satu laporan polis sudah pun dibuat oleh Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon bagi membolehkan pihak berwajib menyiasat perbuatan yang berupaya mengganggu-gugat keharmonian rakyat.

https://fb.watch/v/4jue4iNRe/

Dalam masa sama, diharapkan ia menjadi pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tidak lagi menyebar berita palsu atau menfitnah serta menghasut masyarakat ke arah kebencian. Marilah kita bersama-sama mengharungi waktu sukar akibat pandemik ini dan berhenti memainkan sentimen politik dan perkauman semata-mata mahu meraih sokongan.

-MCA online-