17 Mei 2022

Kenyataan media daripada Jurucakap MCA Saudara Mike Chong

Kemalangan meragut nyawa 5 pemuda – Bukan sahaja pihak penguatkuasa, tetapi pengendali kenderaan berat juga harus memainkan peranan

MCA turut meluahkan rasa kesal dan sedih ke atas pemergian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dalam sebuah kemalangan jalan raya pada minggu lepas yang membabitkan dua buah treler dan kenderaan mangsa.

Lebih mengecewakan, kemalangan seperti ini sepatutnya boleh dielakkan sekiranya langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang betul telah diambil.

Terbaru, siasatan polis telah mendedahkan bahawa pemandu treler yang melanggar kenderaan mangsa telah memandu dengan cuai, bahkan telah dikenakan 22 saman, termasuk 8 saman kesalahan pandu laju.

Ini ditambah lagi dengan laporan media yang mendakwa pengendali treler tersebut tidak diselenggara dengan baik sepertimana yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam hal ini, bukan sahaja isu penguatkuasaan perlu dipandang serius, tetapi juga pengendali kenderaan serta firma, atau syarikat yang mengendalikan kenderaan berat dan sebagainya wajib bertanggungjawab.

Hal yang demikian ini kerana kegagalan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab memastikan kenderaan di jalan raya adalah ‘road worthy’ atau ‘fit for the road’ boleh membawa kepada insiden yang meragut nyawa orang ramai. 

Tanggungjawab ini tidak boleh diambil mudah, sebaliknya wajar ditekankan kepada semua yang terlibat dengan pengendalian kenderaan berat.

Sudah cukuplah Malaysia dibelenggu dengan masalah kenderaan dan kemalangan. 

Saban tahun, jalan raya Malaysia semakin berbahaya. Menurut data daripada sebuah firma antarabangsa, Zutobi, yang dikeluarkan beberapa hari lepas, Malaysia tersenarai antara 10 negara dunia yang paling berbahaya untuk memandu di jalan/ lebuh raya, seiring dengan negara Thailand, Argentina dan Afrika Selatan.

Tambahan lagi, menurut data JPJ, belia dan kanak-kanak terus menjadi antara golongan tertinggi yang maut akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dengan lebih 47 peratus mangsa maut kemalangan jalan raya adalah individu berusia 30 tahun ke bawah.

Berapa ramai lagi rakyat kita harus menjadi mangsa kemalangan yang boleh dielakkan?

Justeru, MCA menggesa semua pihak pihak memandang serius isu ini.

Janganlah menjadikan JPJ dan PDRM sebagai kambing hitam setiap kali berlakunya sebuah kemalangan serius.

Mereka sahaja tidak berupaya mengurangkan kemalangan jika pengendali kenderaan tidak serius dalam tanggungjawab mereka untuk memastikan kenderaan berada pada tahap yang baik dan pemandu cuai dibenarkan memandu di jalan raya.

-MCA online-