25 Julai 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan 

Pelantikan Wong Kah Woh bakal mewujudkan konflik kepentingan

Kerajaan baharu Pakatan Harapan masih tak terhenti-henti memungkirkan janji-janji mereka kepada rakyat, sepertimana yang dibuktikan dengan pelantikan ahli Parlimen DAP Ipoh Timur Wong Kah Woh sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dan kemudiannya sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Kedua-dua jawatan kerajaan tersebut bakal wujudkan konflik kepentingan jika SEDA dibawa dalam siasatan PAC. Demi memastikan integriti PAC tidak dipersoalkan, dan prinsip ketelusan ditegakkan, kerajaan baharu seharusnya memberhentikan amalan lantikan politik sepertimana yang sudah dijanjikan mereka.

Sebelum PRU14, Pakatan Harapan telah berjanji akan “memastikan pelantikan ahli Lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka”.

Sebaliknya, sebaik sahaja membentuk kerajaan baharu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), namun beliau telah meletakkan jawatan tersebut berikutan kritikan daripada pelbagai pihak.  

Malangnya, kerajaan PH nampaknya masih belum belajar daripada kesilapannya, apabila ahli Parlimen DAP Bentong Wong Tak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), manakala bekas ahli DAP Hew Kuan Yau, atau lebih dikenali sebagai “Superman”, pula dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC).

Lagi contoh-contoh pelantikan politik adalah timbalan bendahari DAP Pulau Pinang Jeffrey Chew sebagai pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Chan Foong Hin sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Exco Selangor Ean Yong Hian Wah sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang. 

Oleh itu, demi mengelak peluang wujudnya konflik kepentingan, dan juga mengekalkan profesionalisme, integriti, dan kesaksamaan badan-badan kerajaan tersebut, Wong Kah Woh digesa meletak jawatan sebagai timbalan pengerusi PAC dengan serta-merta  

-MCA online-