3 Februari 2023

Kenyataan media Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho Kwok Xheng

Terima kasih YAB PM Anwar, harap tiada lagi kes gugur yang mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan

Pemuda MCA menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kerajaan pimpinannya akan kekal bebas dan tidak campur tangan dalam mana-mana siasatan dikendalikan agensi penguatkuasa atau badan kehakiman.

Kenyataan itu sekali gus menyaksikan ketegasan kerajaan berkaitan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun milik BERSATU di atas dakwaan parti itu yang mempunyai lebih RM300 juta dalam akaun parti.

Oleh itu, semua pihak perlu menghormati keputusan tersebut termasuk BERSATU dan membiarkan SPRM menjalankan tugas mereka untuk menyiasat terhadap laporan yang telah diterima.

Namun, dalam masa yang sama, ramai juga berharap agar tindakan tidak campur tangan kerajaan ini tidak ada 'double standard' dan terpakai buat semua pihak.

Rakyat tidak mahu kejadian sama berulang lagi di mana kes melibatkan pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan beberapa lagi kes melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) digugurkan setelah PH menjadi kerajaan pada tahun 2018 lalu di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pemuda MCA amat mengharapkan apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Anwar ini dapat dilaksanakan secara telus dan tiada sesiapa pun kebal daripada undang-undang. Sepertimana ungkapan yang biasa kita dengar, "Keadilan bukan sahaja hendaklah dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan."

-MCA online-