Pemuda MCA ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada empat kadet Tentera Malaysia yang telah terpilih untuk menyertai latihan di akademi tentera berprestij Amerika Syarikat tahun ini.

Empat kadet yang terpilih ialah Edlan Mikyad Ahmad Syamly dan Zarif Mohd Zamrin, masing-masing berusia 20 tahun serta Muahamad Danish Imran Zainudin dan Qarin Loqman Safriza, masing-masing berusia 18 tahun.

Edlan Miqyad bakal ditempatkan di Akademi Ketenteraan AS (USMA) di Westpoint, New York, manakala Muahamad Danish Imran dan Qarin Loqman akan dilatih di Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland, dan Zarif pula akan menerima latihan di Akademi Tentera Udara (USAFA) di Colorado.

Kejayaan mereka ini pastinya menjadi kebanggaan negara kerana telah menjadi antara 15 calon daripada seluruh dunia yang terpilih selepas melalui proses pemilihan yang teliti.

Pemuda MCA berharap kejayaan yang dicapai mereka ini akan menjadi pemangkin buat golongan belia yang bercita-cita untuk menjadi seorang tentera agar terus berusaha sehingga tercapai apa yang dihajati.

Tiada kejayaan datang bergolek tanpa daya usaha yang kuat dan pastinya ia perlu dimulakan dengan persediaan pada peringkat awal.

Kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan merupakan lumrah realiti kehidupan yang harus ditempuhi oleh setiap manusia di atas muka bumi ini.

Namun, untuk mengecapi nikmat kejayaan itu, ia harus bermula dengan usaha gigih seseorang dan disusuli dengan sokongan daripada orang-orang sekeliling.

Semoga selepas ini akan lebih ramai lagi anak muda di Malaysia dapat pergi ke luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman tidak kira dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.

Datuk Nicole Wong Siaw Ting
Kenyataaan Media Ketua Pemuda MCA
8 Jun 2022