Saya mengikuti perkembangan semasa termasuk mengenai keputusan Parlimen Jepun yang meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi menjadikan buli siber sebagai jenayah yang boleh dihukum penjara di negara mereka. Ini membuktikan bahawa gejala buli siber ini merupakan perkara serius yang berlaku di mana-mana negara dan perlu dibendung segera sebelum menjadi barah dalam kalangan masyarakat.

Di Malaysia, kita mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 211 tentang larangan terhadap kandungan jelik. Seksyen 211(2) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pembuli juga boleh didenda selanjutnya RM1000 setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Manakala, di bawah akta yang sama iaitu Seksyen 233(3), sesiapa yang melakukan sabit kesalahan seksyen 233(1) dan 233(2) iaitu seseorang secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi dengan menghantar komen lucah atau dengan niat mengganggu orang lain secara berterusan atau berulang kali boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun, atau kedua-duanya sekali. Denda selanjutnya RM1000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Jika terdapat buli siber dan mempunyai unsur-unsur fitnah, pembuli juga boleh didakwa di bawah Seksyen 499 di bawah Penal Code di mana mana-mana pemfitnah boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Jadi apa yang saya hendak tekankan di sini ialah, kita telah pun memiliki undang-undang yang dapat membela diri kita sekiranya menjadi mangsa. Masyarakat juga perlu sentiasa diingatkan bahawa gejala buli siber juga adalah satu jenayah.

Semalam, media melaporkan seorang pempengaruh media sosial diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada seorang wanita yang menjadi mangsa 'body shaming', dua tahun lalu.

'Body Shaming' - mengutuk, menghina dan mencaci bentuk tubuh seseorang atau individu lain sama ada menerusi siaran langsung atau hantaran di media sosial juga antara buli siber yang sering berlaku di Malaysia.

Kita harus sedar, tindakan body shaming di media sosial itu bukan hanya memberi kesan kepada mangsa, malah turut melibatkan anak-anak, pasangan dan ahli keluarga mereka. Maruah dan harga diri mereka akan tercemar dek kerana tindakan sipembuli tambahan lagi ketika dizaman viral ini, semuanya boleh dilihat dengan mudah dan pantas.

Dalam masa sama, kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada jenayah body shaming semata-mata, sebaliknya segala bentuk buli siber termasuk kata-kata hinaan, lucah, makian, jelik sehingga mengganggu orang lain harus diberi perhatian serius.

Jika tindakan atau hukuman berat tidak dijatuhkan terhadap sipembuli, nescaya masyarakat tidak akan memandang isu ini dengan lebih serius malah tidak mustahil ada yang menganggap ia sebagai 'gurauan' sedangkan tindakan itu mencemarkan maruah mangsa. Malah, lebih buruk, ada mangsa yang membunuh diri seperti apa yang berlaku di negara Jepun.

Chan Quin Er
Jurucakap MCA
14 Jun 2022

- MCA Online