Kerajaan memberi kelonggaran kepada majikan dalam sektor perladangan dan komoditi untuk memindah atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata kelonggaran menerusi Permohonan Pertukaran Majikan (PTM) itu adalah penyelesaian jangka pendek.

Selain itu katanya, kelonggaran itu diberi kepada majikan sektor perladangan dan industri komoditi yang terkesan dan tidak berkeupayaan meneruskan penggajian pekerja asing.

Kementerian juga menyedari kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi agak kritikal dan dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

"Kerajaan juga melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), mulai 16 November lalu hingga 30 Jun 2021, merangkumi dua komponen utama program khas iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

"Program Rekalibrasi Pulang membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat tertentu ditetapkan.

"Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula bagi meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan layak, tertakluk kepada syarat ketat diputuskan kerajaan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai mekanisme perancangan bagi menangani impak besar pengurangan pekerja asing dalam sektor perladangan.

Jeck Seng berkata, kementerian akan menggandakan usaha bagi mengisi kekurangan pekerja sektor perladangan dan industri komoditi dengan mengadakan kempen mengajak lebih ramai rakyat tempatan, termasuk Orang Asli bekerja di sektor berkenaan.

Kementerian akan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan industri komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan serta kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

"Kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus dijalin bagi membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja.

"Ia melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan dan mengalu-alukan pembabitan agensi pekerjaan tempatan tampil serta membantu kementerian menggalakkan rakyat tempatan bekerja di sektor berkenaan," katanya. 

-Berita Harian-