Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) Malaysia 2021 telah menurun sehingga 1.7 bayi bagi setiap wanita. Trend kelahiran yang berkurangan ini bukan sahaja mempercepatkan penuaan populasi, tetapi juga menjejaskan pasaran buruh, seterusnya memberi cabaran hebat kepada pertumbuhan ekonomi negara. Maka tiba masanya kerajaan menyediakan ‘payung sebelum hujan’, dengan memformulasikan dasar jangka pendek, sederhana dan panjang yang sepadan serta bersasar dari segi struktur populasi, kos sara hidup masyarakat, pertumbuhan ekonomi dan lain-lain bagi menghadapi cabaran masa depan. 

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap kejatuhan nilai TFR yang begitu mendadak sebagaimana ditunjukkan statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 13 Oktober 2022.

Statistik itu menunjukkan, TFR telah menurun dari 4.9 bayi pada 1970 ke 1.7 bayi pada tahun lepas, malah jumlah bayi pada 2021 telah berkurangan seramai 31,760 orang atau 6.7 peratus berbanding tahun 2020, iaitu kadar kejatuhan yang terbesar dalam tempoh 10 tahun.

Yee Fung berkata, kadar kelahiran yang rendah secara langsung menjejaskan pasaran buruh. Apabila pasaran buruh yang aktif menyusut, kos untuk membiayai masyarakat yang semakin tua meningkat, terutamanya apabila kebanyakan daripada golongan B40 mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat pandemik Covid-19. 67 peratus rakyat Malaysia kini tidak mempunyai simpanan asas sebanyak RM240,000 untuk bersara, malah ramai yang mempunyai simpanan kurang dari RM10,000.  Kos perubatan yang semakin meningkat bukan sahaja menambah beban kerajaan, tetapi juga menambah tekanan untuk pasangan suami isteri muda yang terpaksa menyara orang-orang tua serta anak-anak mereka.

Beliau yang juga Penyelaras MCA Parlimen Bayan Baru memberitahu, kesan rantaian daripada penurunan kadar kelahiran tentunya akan turut menurunkan indeks kebahagiaan rakyat. Tekanan hidup yang bertambah juga akan menyebabkan masalah sosial, seterusnya menjadi penghalang kepada pembangunan negara dalam jangka panjang. Justeru, kerajaan perlu mengambil strategi yang efektif dengan kadar segera sebelum warga tua mencapai 14.1 peratus dan Malaysia menjadi negara dengan populasi semakin menua pada 2039.

Tegas Yee Fung, kerajaan telah memperkenalkan beberapa solusi jangka pendek dalam Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini, termasuk memperuntukkan RM2.5 bilion kepada Jabatan Kebajikan (JKM), memberikan pelbagai jenis bantuan kepada warga tua, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan pengidap penyakit kronik, asnaf, serta terus memperuntukkan RM21 juta bagi membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan perkhidmatan penjagaan kepada golongan tersebut.

“Untuk meningkatkan kadar kelahiran, serta mengurangkan masalah tumbesaran kanak-kanak, kerajaan juga akan menggerakkan inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia, dengan memberikan bantuan kewangan RM500 secara sekali bayar untuk isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang dikurniakan anak pada tahun 2023.” 

Beliau menjelaskan, walaupun peruntukan tersebut dapat meringankan beban rakyat, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah dalam jangka panjang, sebaliknya menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung bebanan kewangan yang lebih besar akibat peningkatan indeks hidup pada masa depan.

“Pembangunan negara dalam jangka panjang, sangat bergantung kepada bagaimana mengurangkan impak penuaan serta kurang kelahiran, juga termasuk bagaimana memanfaatkan pengalaman warga tua sebagai tenaga produktiviti masyarakat.”

Yee Fung berpendapat, kerajaan harus mempercepatkan transformasi ekonomi agar suasana ekonomi yang lebih baik dapat membantu meningkatkan minat pasangan suami isteri untuk menambah zuriat. Warga emas juga boleh diambil bekerja bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap anak-anak. Beliau mencadangkan kerajaan supaya mengambil pendekatan kreatif seperti berikut:

1. Meningkatkan keupayaan dan keberkesanan rawatan mandul serta memberikan bantuan kepada suami isteri yang ingin mendapatkan rawatan tersebut;

2. Menyediakan perkhidmatan jagaan harian yang mampu bayar kepada kanak-kanak dan warga tua melalui pengecualian cukai dan lain-lain insentif, serta kerjasama dengan komuniti dan majikan;

3. Dasar penggajian yang lebih fleksibel, berkesan serta inklusif untuk warga tua, termasuk pengecualian cukai pendapatan, insentif kepada majikan dan sebagainya.

Beliau berpendapat, sekiranya langkah-langkah tersebut dapat dilaksanakan, ia mampu mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja yang disebabkan penuaan populasi serta kurang kelahiran, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Saw Yee Fung
Jurucakap MCA
16 Oktober 2022

-MCA Online-