Presiden MCA, Wee Ka Siong menyeru anggota masyarakat khususnya golongan muda menyertai dan meneroka kerjaya dalam perkhidmatan awam bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam hantaran di Facebook, Wee berkata tidak dinafikan ada dalam kalangan masyarakat berasa teragak-agak atau enggan menyertai perkhidmatan awam akibat persepsi negatif terhadap sektor itu.

"Gambaran ketidakcekapan birokrasi dan kemajuan kerjaya yang terhad antara punca ramai anak muda berbakat tidak berminat menceburi bidang ini.

"Namun begitu, perkhidmatan awam bukan sahaja mengenai kerjaya; sebaliknya ia adalah salah satu cara untuk menyumbang kepada pembangunan negara, memainkan peranan dalam penggubalan dasar yang bermanfaat, dan memberi perkhidmatan kepada rakyat secara langsung," katanya.

Terdahulu, Wee merasmikan program pengambilan perkhidmatan awam dan badan beruniform 2024.

Dalam pada itu Wee merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai kerana memulakan kempen bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai sektor perkhidmatan awam.

Katanya, kempen itu anjuran bersama Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Pemuda MCA Wilayah Persekutuan dan Pemuda MCA Wangsa Maju.

"Saya mengambil peluang ini untuk menggalakkan anak-anak muda yang mahu membawa perubahan yang bermakna kepada negara supaya menerokai kerjaya di dalam perkhidmatan awam," katanya.

Tahun lepas, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menegaskan tiada diskriminasi kaum dalam pengambilan penjawat awam dan semua warga Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan terbuka dan adil.

SPA mengeluarkan kenyataan itu selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilapor berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan untuk memecahkan dominasi kaum Melayu dalam sektor awam kerana menganggap ia bukan satu masalah.

Anwar mengulas cadangan bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, yang ketika itu masih bersama DAP.

Perdana menteri itu turut menyifatkan cadangan itu sebagai pendapat peribadi dan tidak menggambarkan pendirian DAP.

Februari lalu, kempen dijalankan untuk menggalakkan lebih ramai kaum Cina menyertai perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, perbalahan tercetus antara MCA dan Umno, apabila ketua penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy menolak penyertaan lebih ramai kaum Cina dalam perkhidmatan awam yang disifatkan boleh menjejaskan ekonomi bumiputera.

-Malaysiakini-