Kementerian Pendidikan sedang meneliti kaedah dan kejayaan negara-negara lain dalam menangani isu disiplin di sekolah khususnya buli, kata Timbalan Menterinya Senator Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata kaedah baharu itu termasuk cadangan daripada badan bukan kerajaan akan dibentangkan apabila kajian selesai kelak.

“Isu buli tidak boleh hanya dilihat sebagai isu sekolah sebab kita dapati isu buli mempunyai kaitan rapat dengan latar belakang pelajar tersebut… keadaan keluarganya, status sosioekonominya dan persekitaran komunitinya.

“Jadi, untuk menanganinya, ia perlu kerjasama semua pihak terutamanya komuniti setempat. Kita tidak boleh membiarkan hanya pihak sekolah sahaja mengendalikan untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat mural dinding di pekan Mantin dekat sini, hari ini.

Chong berkata beliau telah diberi tanggungjawab mempengerusikan jawatankuasa induk bagi menangani isu disiplin sekolah yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Kesatuan Guru dan Guru Besar.

Mengenai mural dinding di pekan Mantin, beliau berkata ia dilukis oleh Kweh Zi Jian, 24, lulusan bidang animasi Universiti Malaysia Kelantan yang berasal dari Seremban.

Katanya lukisan mural itu mengikut konsep kartun Tintin yang terkenal.

“Sebanyak tujuh tempat di pekan Mantin akan dilukis mural dan setakat ini tiga telah siap dilukis.

“Selain mencantikkan bangunan di pekan Mantin, kita harap lukisan mural ini akan menarik perhatian orang ramai dan pelancong,” katanya.

– Bernama