26 Mac 2019

Kenyataan Media Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pahang Sdr Quek Tai Seong

Kempen “Sayangi Sawit Malaysia” tidak praktikal – Lebih baik berunding semula dengan China 

Kempen “Sayangi Sawit Malaysia” hanya merupakan propaganda politik dan tidak mampu membantu meningkatkan penjualan minyak sawit tempatan atau produk berasaskan sawit, melupuskan jumlah stok ataupun meningkatkan harga komoditi tersebut.

Kempen tersebut, yang dilancarkan Kementerian Perindustrian Utama, bertujuan “memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan ke atas minyak sawit Malaysia”, dan menggalakkan rakyat menggunakan produk sawit dalam kehidupan harian mereka. Akan tetapi, masyarakat tempatan hanya merupakan pasaran kecil, dan tidak akan membawa kesan signifikan terhadap harga sawit.

Lebih-lebih lagi apabila Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang kedua terbesar di dunia. Negara memiliki kapasiti tanah sebesar 5.85 juta hektar bagi tujuan penanaman kelapa sawit , maka kami bergantung berat kepada permintaan negara-negara lain untuk menyerapkan lebihan stok dan menstabilkan harga komoditi.

Oleh itu, kempen “Sayangi Sawit Malaysia” jelasnya tidak praktikal, kecuali ia bertujuan menggalakkan rakyat untuk menggantikan air mandi dan minum dengan minyak sawit. Sekatan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) ke atas minyak sawit harus ditangani dengan betul, dan Menteri Perindustrian Utama sepatutnya mencari negara pembeli lain, ataupun bertemu dengan pemimpin-pemimpin EU untuk menjelaskan fakta yang sebenarnya mengenai minyak sawit. 

Hubungan Malaysia-China yang semakin renggang sejak pertukaran kerajaan baharu disebabkan pembatalan projek-projek di bawah inisiatif “Belt and Road” telah menyebabkan kerajaan China mengurangkan jumlah import minyak sawit dari Malaysia, sekaligus menyebabkan lebihan stok dan menjejaskan harga komoditi.  

Peningkatan harga sawit bergantung besar kepada pasaran China, dan selagi China tidak menambahkan jumlah import sawit dari Malaysia, harganya akan tetap rendah. Oleh itu, kerajaan baharu PH disaran berhenti fokusnya terhadap EU, dan menukarkan tumpuannya kepada negara China. 

Demi menjaga kebajikan dan kepentingan peladang-peladang kelapa sawit, dan untuk memulihkan semula permintaan minyak sawit, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir digesa memperbaiki hubungan Malaysia dengan China, dan bertemu dengan menteri-menteri mereka seawal bulan April ini. Kerajaan juga digesa mengambil bahagian semula dalam Inisiatif “Belt and Road” di samping berunding semula dengan China untuk mengembalikan permintaan mereka untuk minyak dan produk berasaskan sawit dari kita.

-MCA online-