23 Julai 2019

Kenyataan Media Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho Kwok Xheng

Bekalan air terputus - Rakyat mahu penyelesaian, bukannya alasan “sabotaj”!

Susulan pemotongan bekalan air untuk kali ketiga dalam tempoh setengah tahun, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago telah menyatakan bahawa wujudnya unsur-unsur sabotaj.

Ini adalah satu tuduhan yang serius, dan Menteri digesa menjelaskan kenyataannya secara menyeluruh kerana ia melibatkan kepentingan dan juga kesihatan penduduk-penduduk negeri Selangor.

Rakyat Selangor sudah muak dan marah dengan pemotongan bekalan air yang semakin kerap sejak Pakatan Harapan mengambil alih negeri Selangor. Memandangkan Pakatan Harapan sememangnya terkenal dengan pusingan U dan pemberian alasan, maka dakwaan wujudnya “unsur sabotaj” yang timbul secara kebetulan harus dijelaskan secara terperinci untuk membuktikan bahawa ia bukan satu helah politik untuk mengelak tanggungjawab.

Jika ia benar-benar melibatkan angkara khianat, maka tindakan harus diambil pihak berkuasa berkenaan untuk memastikan sumber-sumber air negeri dilindungi, dan Air Selangor juga bertanggungjawab memastikan loji-loji rawatan mereka berfungsi dengan baik untuk memastikan pencemaran tersebut tidak menjejaskan keselamatan air bagi pihak pengguna.

Kerajaan negeri dan juga SPAN juga wajar mengkaji semula langkah-langkah kecemasan mereka, untuk memastikan bahawa pengguna-pengguna tidak dibebankan terlalu lama tanpa bekalan air. Pemotongan bekalan air sebanyak tiga kali dalam tahun ini sahaja memang tidak boleh diterima, dan ini belum lagi mengambil kira insiden-insiden bekalan air terputus dalam tempoh 10 tahun lalu sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan negeri Selangor.

Akhir kata, kami berharap isu air tidak akan dipolitikkan, dan kerajaan negeri Selangor digesa belajar daripada kesilapan kerajaan Johor semasa insiden pencemaran udara yang bermula di Pasir Gudang pada bulan Mac lepas, tetapi masih belum selesai sehingga hari ini.

-MCA online-