2 Mac 2020

Kenyataan Media Jurucakap MCA, Sdr. Mike Chong

Menjawab Tuduhan Kerajaan Baru adalah Kerajaan Pintu Belakang dan Mandat Rakyat Dikhianati

Selepas pengumuman perlantikan Perdana Menteri ke-8 dibuat semalam oleh Istana Negara, ramai yang marah dengan keputusan tersebut. Sampai ada yang sanggup menghina dan mencaci DYMM SPB Agong

Kata mereka kerajaan yang bakal ditubuhkan ini adalah kerajaan pintu belakang dan mandat rakyat telah "dikhianati" kerana mereka tidak mengundi kerajaan ini pada PRU yang lepas

Tetapi adakah benar dan berasas tuduhan mereka? Izinkan saya memberi sedikit pencerahan

1. Sejurus selepas PRU yang lepas, proses penyerahan kuasa dijalankan dengan aman dan teratur olehnya BN. Kami menerima hakikat bahawa majoriti rakyat telah menolak BN dan sejak itu kami mula memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang berwibawa dan konstruktif

Kami sanggup menunggu sehingga PRU depan untuk memberi peluang kepada rakyat memilih semula, kerana kami yakin rakyat sedang menilai dan BN adalah pilihan yang lebih baik daripada PH. Kemenangan besar berpihak kepada BN dalam beberapa PRK yang lepas telah membuktikan rakyat sudah kembali menyokong BN. Jadi apakah perlunya kami kembali melalui pintu belakang seperti yang dituduh, sedangkan peluang untuk kami pulang berkuasa begitu cerah dalam PRU akan datang?

2. Kemelut politik yang menyebabkan kerajaan baru dibentukkan ini tidak bermula dengan BN, tetapi disebabkan oleh kegagalan PH sendiri. Biar kita imbas kembali siapakah yang sebenarnya memulakan segala percaturan politik ini yang akhirnya menyebabkan kerajaan PH tumbang? Bukan pemimpin BN tetapi pemimpin PH sendiri. Habis BN pula disalahkan?

3. BN tidak "mengkhianati" mandat rakyat, padahal ia telah lama "dikhianati" oleh kerajaan PH. Ingat lagi ungkapan menarik "manifesto itu bukan kitab suci"? Harus diingatkan ramai yang mengundi PH dalam PRU yang lepas kerana mereka tertarik dengan manifesto PH yang janjikan bulan dan bintang. Tetapi akhirnya semua dicapati, di antaranya tol lebuh raya, PTPTN, gaji minima, peluang pekerjaan dan banyak lagi

Jadi siapakah sebenarnya yang "mengkhianati" mandat rakyat?

4. Mereka kata mereka tolak BN dalam PRU lepas kerana kleptokrasi. Saya nak tanya adakah pemimpin-pemimpin yang dikatakan penyamun dan kleptokrasi itu terlepas ataupun sedang didakwa dalam mahkamah? Adakah yang terlepas?

Malahan mantan Perdana Menteri Najib Razak telah mengatakan beliau tidak mahu tuduhan terhadap beliau digugurkan selepas kerajaan baru dibentuk. Tetapi yang peliknya kesemua tuduhan ke atas bekas Menteri Kewayangan telahpun "digugurkan" tanpa sebab

Jadi siapa yang mengkhianati rakyat?

5. BN bersetuju untuk membentuk kerajaan baru ini bukannya gila kuasa, tetapi untuk selamatkan negara yang sekarang ini penuh dengan pelbagai masalah. Kami boleh tunggu sehingga kembali berkuasa dalam PRU depan, tetapi apa yang membimbangkan kami adalah keadaan negara ini semakin tenat, akibat daripada pentadbiran lemah kepimpinan PH

Ingatkah anda macam mana bekas Menteri Kewayangan membatalkan bantuan kerajaan kepada TARUC hanya kerana TARUC ini diasaskan oleh MCA? Harapan rakyat adalah supaya pemimpin PH dapat menjalankan tugas dengan telus dan amanah, tetapi bekas Menteri Kewayangan itu pula sibuk berpolitik

Jadi siapa yang mengkhianati rakyat?

BN tidak menggagalkan kerajaan PH, tetapi PH sendiri telah menggagalkan kerajaan milik mereka sendiri, tak payahlah nak salahkan orang lain pula

-MCA online-