18 Januari 2021

Kenyataan Media Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How

SALUR BPR SECARA AUTOMATIK KEPADA PENERIMA BSH 2020 DAN BPN 2.0

Sekiranya anda penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 dan Bantuan Prihatin Negara (BPN) 2.0, anda hanya perlu mengemaskini maklumat tanpa perlu membuat permohonan baharu.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How berkata, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sedang dibuka untuk permohonan dan kemaskini butiran peribadi mulai 15/1/2021  hingga 15/2/2021. Orang ramai sudah mula membanjiri pusat-pusat khidmat untuk urusan pengemaskinian.

Sehubungan ini, Wai How berpendapat kerajaan sepatutnya memberikan BPR secara automatik kepada penerima BSH 2020 dan BPN 2.0, manakala yang tidak menerima apa-apa bantuan perlu membuat permohonan untuk BPR, ia bagi mengelakkan pemohon berkumpul beramai-ramai di pusat khidmat, sekaligus dapat mengurangkan masalah yang mungkin timbul di kemudian hari.

Walaupun kerajaan membenarkan permohonan BPR dibuat secara atas talian, namun kita perlu ingat bahawa segelintir masyarakat termasuk warga emas tidak mahir menggunakan teknologi dan mungkin perlu meminta bantuan orang lain yang sekaligus boleh membuat mereka terdedah kepada risiko tertentu yang memudaratkan. Kita perlu lakukan sesuatu dan kita tidak mahu wujud kluster baharu pandemik COVID-19.

-MCA online-