25 Januari 2021

Kenyataan media Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Lau Chin Kok

DAP sanggup gadai prinsip berkawan dengan UMNO demi jawatan

Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor merangkap ADUN DAP Sekinchan, Ng Suee Lim menyatakan sokongan untuk bekerjasama dengan UMNO - parti yang dimusuhi DAP sejak berpuluh-puluh tahun lamanya, membuktikan sikap DAP yang sanggup mengkhianati dan menggadai prinsip parti sendiri serta menjadi oportunis semata-mata demi kepentingan dan kuasa. Inilah wajah sebenar DAP.

Kenyataan dan pendirian Suee Lim hanya menunjukkan wajah sebenar DAP. Ditambah pula dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mahu menjalin kerjasama dengan UMNO, ini membuktikan bahawa DAP selama ini sememangnya sebuah parti oportunis sehingga sanggup merendahkan martabat untuk cuba berbaik-baik dengan musuh ketat yang baru saja mereka kritik seminit lalu.

Alasan DAP kononnya ‘demi kepentingan rakyat, DAP bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti, bagi membentuk sebuah kerajaan pelbagai kaum yang kuat dan stabil’ hanyalah retorik. Hakikatnya, mereka hanya menggunakan sokongan rakyat sebagai batu loncatan, dan pendirian mereka sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan.

Sudah berpuluh-puluh tahun DAP menyerang UMNO demi meraih sokongan masyarakat Cina, sehingga mereka membantah apa sahaja dasar UMNO secara membuta tuli. Selepas mendapat sokongan majoriti besar kaum Cina, mereka menggunakannya sebagai modal untuk berbaik dengan UMNO dengan cara memuji musuh ketatnya itu bertujuan merampas kuasa dan kedudukan.

Prosedur operasi standard (SOP) DAP adalah mudah iaitu, jika menyerang UMNO boleh memenangkan mereka dalam pilihan raya, maka mereka akan melakukan serangan setiap hari, malah menfitnah Barisan Nasional, termasuk memburuk-burukkan gandingan MCA-UMNO bagi tujuan menghasut dan mendapatkan sokongan. Sebaliknya, jika bekerjasama dengan UMNO boleh membawa kepada jawatan dalam kerajaan, maka tanpa teragak-agak mereka akan cuba memikat UMNO dengan pelbagai naratif untuk menghalalkan tindakan mereka, bagi membolehkan kerjasama antara DAP-UMNO.

Beginilah sikap DAP. Setelah terkuburnya Pakatan Rakyat, DAP terus menghentam PAS sebagai parti ekstremis. Walau bagaimanapun, demi kuasa dan jawatan, mereka boleh pula bekerjasama dengan PAS bagi membentuk kerajaan negeri Selangor.

Ini menunjukkan bahawa, demi kepentingan dan jawatan, DAP sanggup menggadai prinsipnya, malah mengkhianati rakyat. Sebagai sebuah parti opotunis, sokongan rakyat hanyalah sebagai modal untuk mereka ‘membeli’ kepentingan sendiri.

-MCA online-