Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan usaha menstabilkan bekalan telur tempatan dalam negara, susulan permintaan tinggi di bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, antara langkah dicadangkan beliau ialah mengapungkan harga sebiji telur tempatan kepada 50 sen, berbanding harga kawalan terkini iaitu 41 sen.

Beliau yakin jualan telur akan berjalan seperti biasa jika harga telur diapungkan pada 50 sen sebiji, kerana permintaan yang tinggi.

Cadangan harga apungan tersebut juga, adalah sama dengan harga sebiji telur, diimport dari India.

Kualiti telur dihasilkan tempatan juga lebih segar berbanding telur dari India, yang memerlukan tempoh sehingga empat minggu untuk dibawa masuk.

"Kalau tak untung, macam mana dia mahu menternak? Tak mahu, kalau boleh buat kenapa tidak membenarkan mereka, saya tak menyarankan kadar itu naik sebab kita ada komponen subsidi walaupun telur sekarang ada subsidi, tetapi kalau kaedah itu sudah tak kena, 'float' sahaja, 50 sen, kalau harga daripada India, 50 sen, teruskan 50 sen, tak ada masalah sangat," kata beliau ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri di Yong Peng, di sini.

Menurut Wee, kawasan Yong Peng mempunyai lebih 100 ladang ayam dan mengeksport sejuta telur ayam ke Singapura, sehari.

-RTM-