Tindakan pelawak dari Singapura, Jocelyn Chia yang menghina dan memperlekehkan Malaysia pada rancangan komedinya yang videonya kini tular di laman sosial disifatkan sebagai pemikiran kelas ketiga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata beliau kecewa dan sedih dengan tindakan wanita itu.

Katanya, sebagai warganagara Malaysia dan bermastautin di Johor, jiran kepada Singapura, beliau kecewa kerana sebagai sebuah negara majmuk yang memegang status negara maju, masih ada pemikiran kelas ketiga seperti itu.

"Saya sedih sebab dia menggunakan peristiwa MH370 sebagai bahan lawak yang tidak memberi manfaat kepada sesiapa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, katanya, permohonan maaf secara terbuka wajar dibuat pelawak itu terhadap rakyat negara ini.

"Saya harap dia memohon maaf dengan warganegara Malaysia dan semua keluarga mangsa MH370," katanya.

Semalam, tular rakaman potongan video di laman sosial TikTok pelawak Singapura itu menerima kecaman warga maya selepas rakaman video dalam program 'ComedyCellarUSA' tular apabila didakwa menghina Malaysia.

Video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @jocelynchiacomedy, pelawak itu menjadikan pembangunan Malaysia dan rakyat negara ini sebagai bahan jenaka.

Bagaimanapun pelawak itu telah menyahaktifkan komen di TikTok selepas menerima komen negatif daripada warga maya.

-Berita Harian-