4 Disember 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA, Sdri Chan Quin Er 

Membalas balik kenyataan Ridhuan Tee

Saya telah membaca kenyataan daripada pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menerusi akaun Facebooknya yang bertajuk 'Cerdiknya politik ultra kiasu MCA'.

Terima kasih kerana begitu berminat dan prihatin dengan MCA.

Berkaitan isu Muafakat Nasional, saya ingin mengatakan dengan tegas bahawa MCA tidak pernah menolak keputusan UMNO dan PAS untuk membentuk Muafakat Nasional kerana ia jelas merujuk kepada semangat solidariti kebersamaan antara parti-parti pembangkang di negara ini. Tambahan pula ia tidak meminggirkan mana-mana kaum.

MCA juga menerima Muafakat Nasional ini kerana ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai-nilai sejagat seperti kesederhanaan, kepelbagaian dan inklusif.

Jadi saya rasa tidak timbul isu, MCA mahu 'makan' dua-dua belah pihak seperti didakwa Ridhuan Tee.

Beliau juga ada mempersoalkan ucapan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO pada AGM MCA baru-baru ini untuk memberikan peruntukan lebih besar kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) sekiranya masyarakat Cina kembali menyokong BN.

Apa yang salahnya? Tahukah Ridhuan Tee, secara komulatif, kerajaan Barisan Nasional terdahulu telah memberi dana sebanyak RM1.353 bilion untuk tempoh 50 tahun dari 1969 hingga 2018? Tetapi bila Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, Lim Guan Eng membatalkan geran padanan tersebut! Bagaimana Ridhuan mahu memesongkan fakta ini?

Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong telah mengupas panjang lebar mengenai isu TAR UC ini. Jika Ridhuan terlepas siaran langsung, saya jemput baca ucapan penuh Presiden MCA seperti pautan di bawah :

http://www.mca.org.my/3/Content/SinglePage…

Ucapan versi Bahasa Inggeris dan Mandarin turut disiarkan dalam portal MCA. Ini bukti MCA bukanlah sebuah parti yang bermuka-muka.

Selain itu, untuk pengetahuan Ridhuan Tee, pelajar yang menuntut di sana bukan hanya terdiri daripada golongan Cina sahaja. Ini kerana MCA memperjuangkan nasib pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dengan memberi biasiswa kepada mereka supaya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sejak ditubuhkan, lebih 200,000 graduan profesional dan mahir dalam bidang masing-masing berjaya dilahirkan. Bukankah ia sesuatu yang baik kepada negara?

Saya juga berpendapat, Ridhuan Tee tidak perlu menyentuh soal perkauman dengan mengaitkan MCA.

MCA telah bersama-sama dengan UMNO dan MIC untuk menuntut kemerdekaan negara. Sehingga kini, MCA masih berpegang teguh kepada semangat perjuangan parti seiring Perlembagaan Persekutuan.

Jadi saya harap tidak ada lagi pihak yang cuba untuk melaga-lagakan MCA dengan UMNO dan PAS dengan terbentuknya Muafakat Nasional. Melainkan ada pihak yang rasa tidak senang hati dan takut dengan muafakat ini.

Sekali lagi saya tegaskan, MCA akan menyokong sebarang bentuk semangat solidariti antara parti pembangkang asalkan ia selari dengan Perlembagaan Negara, nilai-nilai sejagat seperti kesederhanaan, kepelbagaian dan inklusif.

-MCA online-