27 Mei 2019

Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor Dato’ Ng Chok Sin

Elak perulangan insiden Jenjarom dan Sungai Kim Kim di Sungai Pelek

Pendedahan dalam media kebelakangan ini bahawa Malaysia menjadi tempat pelupusan sisa plastik antarabangsa sangat mengejutkan, dan telah membangkitkan kerisauan penduduk-penduduk negara terhadap keselamatan kesihatan mereka sendiri dan juga terhadap keadaan alam sekitar negara.

Alangkah terkejutnya apabila hari ini ia dilaporkan bahawa terdapat sebuah kilang pemprosesan sisa plastik dari China di kawasan Sungai Pelek dan Sepang yang baru memulakan operasinya sejak dua minggu lalu, hanya sebulan selepas pendedahan pencemaran asid dan plumbum yang disebabkan sebuah kilang bateri di Jenjarom,Kuala Langat.

Mengapakah kerajaan Pakatan Selangor, yang telah mentadbir negeri ini selama 11 tahun, boleh membenarkan perkara ini berlaku? Adakah mereka masih belum belajar dari insiden di Jenjarom yang mengancam lebih 6,000 penduduk?

Ke mana perginya Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar? Sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan asyik mempolitikkan isu kilang Lynas dan perlombongan emas di Bukit Koman, Raub seolah-olah mereka risau akan kesihatan penduduk tempatan. Namun, kilang Lynas masih beroperasi, dan Dr Xavier sendiri mengakui bahawa tiada pencemaran sianida di Bukit Koman sepertimana yang didakwa sebelum ini.

Kedua-dua menteri tersebut, bersama-sama dengan kerajaan negeri Selangor harus mengambil tindakan segera untuk menutup kilang pemprosesan sisa plastik tersebut dengan serta-merta. Ini harus dibuat untuk mengelak pencemaran Sungai Sepang Besar yang berdekatan.

Janganlah jadikan Sepang dan Sungai Pelek sebagai Sungai Kim Kim, ataupun Jenjarom kedua.

-MCA online-