4 November 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA, Sdri Nicole Wong

Adakah wang rakyat untuk kegunaan peribadi Guan Eng?

Merujuk kepada permintaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada pengundi-pengundi Tanjung Piai  untuk memilih parti yang mampu bayar gaji kakitangan kerajaan, Pemuda MCA ingin mengingatkan Lim Guan Eng bahawa ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk membayar gaji penjawat awam, dan soal gaji tidak patut disalahgunakan untuk agenda politik peribadi, sepertimana yang telah dilakukan beliau dengan geran tahunan kerajaan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Ia seolah-olah seperti Guan Eng sudah mula menganggap sumber kerajaan sebagai wang peribadinya, sehingga sanggup memberi gambaran bahawa gaji kakitangan kerajaan mungkin akan digantung, walaupun pada hakikatnya, ia adalah wang rakyat, dan bukannya wang parti politik, yang membayar gaji penjawat awam.

Malah, gaji dan elaun Guan Eng yang mencecah lebih RM80,000 sebulan juga datang dari rakyat. Oleh itu, beliau tidak payah bersikap angkuh hanya kerana beliau diberi kuasa meluluskan bayaran gaji kakitangan awam. 

Sebaliknya, beliau wajar mengkaji semula keputusannya untuk menarik balik geran tahunan kepada TAR UC yang selama ini diberi kerajaan sejak penubuhannya. Setahun selepas KTAR dinaik taraf menjadi sebuah kolej universiti, geran tahunan sebanyak RM60 juta telah dipotong kepada RM5.5 juta dalam Bajet 2019, dan dipotong lagi kepada RM1 juta dalam Bajet 2020.

Kerajaan Barisan Nasional tiada masalah memberi geran tahunan ini, kerana wang rakyat ini digunakan untuk memanfaatkan rakyat melanjutkan Pendidikan, namun selepas Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, beliau menyalahgunakan kuasanya, dan menjadikan TAR UC mangsa agenda dendam politik peribadinya.

Penubuhan TAR UC telah berjaya memupuk ramai bakat, terutamanya di kalangan masyarakat Cina, dan graduan-graduan TAR UC telah menyumbang balik kepada negara melalui pelbagai aspek. Malah, ramai pemimpin di kalangan DAP juga merupakan graduan TAR UC, namun kerana sikap Guan Eng yang hanya mementingkan diri sendiri, TAR UC telah dinafikan peruntukan kerajaan.  

Anehnya, Pakatan Harapan berjaya menjadi kerajaan atas sokongan 95% masyarakat Cina, tetapi institusi pendidikan tinggi yang telah berbakti kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Cina, telah diabaikan. Oleh itu, pengundi-pengundi Tanjung Piai digesa menggunakan undi mereka untuk menyuarakan ketidakpuashatian terhadap sikap Guan Eng ini, dan menekan beliau untuk mengembalikan semula geran kerajaan kepada TAR UC.

-MCA online-